Saturday, March 15, 2014

ASTRO ARENA dan UTUSAN MALAYSIA Teruskan Kerjasama BAgi Memartabatkan Arena Bola Sepak Tanah Air


Hi Korang,

Sementara nak tau berita terkini pasal #MH370, meh kita layan sket cerita pasal arena bola sepak tanahair kita kan

Kuala Lumpur, 11 Mac 2014 – Astro Arena dan Utusan Malaysia telah menandatangani perjanjian persefahaman pada hari ini menandakan usaha sama yang berterusan dalam mempromosi, mengukuh serta membangunkan arena bola sepak di Malaysia. Upacara perjanjian ini yang berlangsung di Wisma FAM diwakili oleh Lee Choong Khay, Ketua Perniagaan Sukan Astro bersama dengan Datuk Mohd. Nasir Ali, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd.

Sesi sidang media. Dari kiri: Lee Choong Khay (Ketua Perniagaan Sukan Astro), Yang Hormat, Dato’ Sri Subahan Kamal (Naib Presiden FAM), YBhg, Datuk Mohd Nasir Ali (Pengarah Eksekutif Kumpulan, Utusan Melayu Malaysia Berhad).


Kerjasama yang bermula dari tahun 2013 ini diteruskan lagi untuk tahun 2014 dalam mempromosikan sukan bola sepak Liga Malaysia musim ini.  Pihak Astro Arena dan Utusan Malaysia akan saling menyalurkan perkongsian sumber berita dan liputan menyeluruh di antara kedua-dua pihak dalam menyampaikan liputan yang mendalam mengenai perlawanan-perlawanan bola sepak tempatan.

Selain itu, melalui kolaborasi mantap ini, barisan pakar dan wartawan sukan daripada akhbar Utusan Malaysia akan tampil dalam beberapa program siaran Astro Arena sebagai tetamu dan ahli panel bagi berkongsi sisi pendapat mereka mengenai acara sukan dan perlawanan yang berlangsung. Manakala, barisan personaliti dan pengulas sukan Astro Arena juga akan turut menitip nukilan pendapat mengenai perkembangan sukan bola sepak negara yang dimuatkan di dalam akhbar Utusan Malaysia.

Sesi penyerahan memorandum perjanjian.


Lee Choong Khay, Ketua Perniagaan Sukan Astro berkata Astro Arena selaku saluran sukan 24 jam pertama di rantau ini sentiasa berusaha untuk membawakan rangkaian perlawanan bola sepak liga tempatan terbaik kepada para penonton. Astro Arena juga telah membuktikan industri sukan bola sepak di Malaysia mendapat sokongan yang luar biasa dan berada di kelasnya yang tersendiri apabila hampir setiap perlawanan liga Malaysia yang disiarkan mencatatkan jumlah tontonan yang sangat memberangsangkan.

Bagi pihak Astro, kami berbesar hati kerana dapat menyambung lagi kerjasama padu ini bersama rakan media yang berpengalaman seperti Utusan Malaysia dalam membangunkan arena sukan bola sepak tanah air. Kami akan meningkatkan usaha dalam menyediakan liputan komprehensif dan maklumat terkini mengenai sukan bola sepak melalui saluran Astro Arena dan siaran akhbar Utusan Malaysia. Kami berharap agar kerjasama yang terjalin ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan untuk memajukan sukan negara,” tambah beliau lagi

Sementara itu Pengarah Eksekutif Kumpulan, Utusan Melayu (M) Bhd, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, Jalinan kerjasama kali kedua dengan Astro Arena selaku penyiar rasmi LIGA Malaysia dan FAM yang merupakan pentadbir aktiviti bolasepak di Malaysia merupakan sesuatu yang sangat membanggakan dan besar ertinya kepada kami dalam usaha meningkatkan imej Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai akhbar berwibawa yang menyiarkan berita sukan yang tepat, terkini dan komprehensif.

Sesungguhnya kami amat menghargai sinergi kerjasama yang melibatkan ketiga-tiga belah pihak ini sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan taraf dan nilai sukan bola sepak tanah air kita”.

Dari kiri: Azman Fahmi Osman (Penolong Naib Presiden, Penjanaan Pendapatan Astro Arena), Lee Choong Khay (Ketua Perniagaan Sukan Astro), Yang Hormat, Dato’ Sri Subahan Kamal (Naib Presiden FAM), YBhg, Datuk Mohd Nasir Ali (Pengarah Eksekutif Kumpulan, Utusan Melayu Malaysia Berhad), Dato Hassan Mohd. Noor (Pengarang Utusan Malaysia) , John Nienabar (Pengurus Besar, Penerbit Eksekutif Astro Arena).


Ternyata Astro Arena sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam menyokong dan memajukan sukan tanah air. Ini terbukti apabila pelbagai inisiatif turut diambil untuk memenuhi kehendak tontonan para peminat sukan di Malaysia. Antaranya ialah dengan menyiarkan kandungan sukan dalam format definisi tinggi (HD) untuk perlawanan bola sepak tertentu dan meluaskan lagi capaian siaran melalui perkhidmatan Astro On The Go.


Di samping itu, bagi meraikan pelbagai acara sukan perdana pada tahun 2014 ini, Astro Arena akan turut menyiarkan Piala Dunia FIFA 2014 dengan membawakan 30 perlawanan secara langsung dan lima perlawanan tertunda dengan ulasan dalam bahasa Melayu bagi memenuhi kehendak tontonan dari semua peringkat golongan. Astro Arena juga akan menayangkan acara sukan serantau untuk tahun ini seperti Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan Sukan Asia ke-17 di Incheon bagi memastikan para penonton dapat mengikuti perkembangan wira-wira sukan negara yang beraksi di persada antarabangsa.

1 comment :

Farah Waheda Wahid said...

tak minat bola kak lily, jadi boleh setakat baca jer...heee....