Saturday, November 14, 2015

CERIA ALL STARS Bermula 27 November 2015 Di Astro CERIA Channel 611

Hi Korang,

Bagi peminat setia racangan Ceria All Stars ni, ada berita baik untuk korang ek...


Stesen televisyen terkemuka, Astro meneruskan misi pencarian bakat-bakat cilik tanahair menerusi sebuah rancangan realiti terbaru, Ceria All Stars yang akan disiarkan bermula 27 November 2015, setiap Jumaat jam 9.00 malam di Astro Ceria, Saluran 611 dan Maya HD, Saluran 135. Menerusi saluran yang didedikasikan khas untuk kanak-kanak itu, Astro Ceria sekali lagi tampil dengan konsep baru yang lebih segar dalam meneruskan usaha mereka mengenengahkan bakat-bakat anak kecil di Malaysia. 

Bertitik-tolak dari kejayaan Ceria Popstar dan Ceria Superstar sebelum ini, Ceria All Stars membuka peluang lebih luas lagi kepada kanak-kanak dalam mempamerkan kepelbagaian bakat generasi muda tanahair melalui formatnya yang lebih terbuka. Tidak hanya terhad pada bakat tarian dan nyanyian semata-mata, Ceria All Stars mempunyai misi penting mengupas bakat-bakat luar biasa yang ada di Malaysia. Para peserta diberi kebebasan mempamerkan apa sahaja bakat yang mereka ada. Tidak kira dari genre apa sekalipun, Ceria All Stars memberikan peluang buat adik-adik kita ini mempamerkan kelebihan masing-masing. Dari nyanyian sehinggalah lakonan, aksi akrobatik dan kelincahan di pentas tari, ketangkasan dalam seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwondo, silap mata mahupun kemahiran bermain alat muzik, semuanya akan dapat kita saksikan dalam Ceria All Stars!



Lebih 1000 peserta telah hadir ke sesi ujibakat Ceria All Stars yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah Oktober lalu. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan juri serta pihak produksi menghadapi kesukaran menyenarai pendek peserta yang layak bersaing di pentas Ceria All Stars. Setelah menilai kualiti, keunikan serta kebolehan peserta yang telah hadir, seramai 20 orang beserta aksi-aksi menarik lagi unik telah berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya. 



Pengurus Saluran Astro Ceria, Hazleynda Khairuddin berkata “Kejayaan Ceria Popstar dan Ceria Superstar sebelum ini meyakinkan kami untuk tampil dengan sebuah rancangan yang lebih universal, sesuai dengan kepelbagaian bakat cilik yang terdapat di negara kita. Melalui Ceria All Stars, kami mahu memberi peluang kepada kanak-kanak di luar sana untuk tampil ke depan dan mempersembahkan kelebihan masing-masing tidak kira apa sahaja bakat yang mereka ada. Kami percaya setiap dari anak-anak kita ini mempunyai keistimewaan masing-masing dan Ceria All Stars bertindak sebagai platform untuk mereka menonjolkan bakat masing-masing.

Kami telah menerima sambutan yang di luar jangkaan sepanjang ujibakat diadakan. Kualiti peserta yang hadir ke sesi ujibakat bukanlah calang-calang peserta dan kehadiran mereka cukup mengagumkan kami. Harus saya akui, proses menyenarai pendek 20 peserta bukanlah sesuatu yang mudah untuk kami kerana setiap yang hadir memiliki potensi dan kelebihan tersendiri. Penonton di rumah pastinya akan teruja menyaksikan kepelbagaian bakat yang ada ini”, tambah Hazleynda lagi.

Program pertama seumpamanya di Malaysia ini yang turut bertujuan mencungkil bakat generasi muda tanahair, menjanjikan pengalaman tontonan program pencarian bakat cilik terbaik yang akan anda saksikan di Malaysia.


Pengacara popular tanahair, Datuk Aznil Haji Nawawi bertindak selaku penaung dan ‘father-figure’ kepada program Ceria All Stars manakala Jihan Muse diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara ditemani Mia Sara selaku pengacara bersama. Pelakon popular Nora Danish dan Nabil Ahmad dipilih menduduki kerusi juri tetap sambil ditemani seorang lagi selebriti jemputan sebagai juri undangan pada setiap minggu. 

Ceria All Stars akan bersiaran selama 7 episod beserta dengan episod pengenalan. 20 peserta akan dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana setiap kumpulan akan bertanding dalam satu episod. Pemenang setiap episod ditentukan sepenuhnya juri tetap dan akan mara ke pusingan separuh akhir, 1 Januari hadapan. Aksi-aksi terbaik akan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 8 Januari 2016. Peringkat separuh akhir dan akhir akan disiarkan secara langsung khas untuk penonton-penonton di rumah.

Juara Ceria All Stars bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 20,000.00 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 15,000.00 beserta trofi. Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 10,000.00 dan juga trofi. Manakala pemenang tempat keempat dan kelima pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5,000.00 dan RM 3,000.00 beserta trofi.

Ceria All Stars diaktifkan oleh Caliph Kids Expert dan diceriakan oleh Legoland. Episod pertama Ceria All Stars bakal bersiaran 20 November 2015 ini bermula jam 9.00 malam hanya di saluran 611, Astro Ceria.

No comments :