Sunday, January 4, 2015

GALERI PETRONAS dan Faber-Castell Persembahkan Seni di Taman KLCC

Hi Korang,

Berita terkini di hujung minggu..

Para pengunjung Taman KLCC yang diselubungi kehijauan dan pencakar langit moden diberi peluang untuk meluahkan kreativiti mereka dalam kelas penghayatan seni baru-baru ini.


Buat julung kalinya aktiviti "Art In The Park" anjuran GALERI PETRONAS dengan kerjasama Faber-Castell menyaksikan 40 orang peserta yang menyerlahkan bakat terpendam mereka dengan melukis persekitaran indah di taman permainan, kolam air, trek larian, dan tentu sekali, Menara Berkembar PETRONAS yang tersergam dengan pensil warna air Faber-Castell.

Sesi 2 jam dalam persekitaran alam semula jadi dan udara segar ini memperlihatkan artis visual, Tang Yeok Khang, giat membimbing peserta dengan penuh semangat untuk mencipta lukisan yang paling imaginatif dengan menggunakan pensil warna air yang mengasyikkan.


Penglibatan dalam program ini memberi beliau peluang untuk menggalakkan masyarakat awam menikmati seni dengan cara tersendiri, satu wawasan yang turut dikongsi bersama dengan GALERI PETRONAS. Bertempat di Aras 3, Suria KLCC, GALERI PETRONAS bertujuan merapatkan orang awam dengan seni melalui pelbagai pameran serta aktiviti yang baru dan menarik. 

Nurshida binti Zainudin, 29, penduduk Kuala Lumpur, telah merebut peluang ini untuk melibatkan seluruh keluarganya dalam aktiviti yang membina ini.

"Hari ini kami membawa anak lelaki, Muhamad Aniq Nazran, berusia 8 tahun, dan sepupunya, Muhammad Afif Irfan, 9 tahun, untuk menikmati kesoronokan menghasilkan karya seni secara kreatif sempena cuti sekolah. Suami dan saya sentiasa mencari peluang untuk melibatkan anak dalam aktiviti sihat dan kami teruja kerana sesi hari ini telah meluaskan pengalaman mereka. Selain itu, mereka gembira dapat membawa pulang pensil warna air Faber-Castell yang bakal digunakan di sekolah nanti," kata Nurshida.


Sesi seni ini turut dinikmati orang dewasa yang suka melukis. Pasangan muda, Jupiter Teh, 24, dan Eelin Leong, 22, setelah menceburkan diri dalam aktiviti itu mendapati bahawa melukis dalam persekitaran semula jadi di taman tersebut telah mencergaskan mereka setelah keras bekerja sepanjang minggu.

Teh berkata, "Setelah penat melakukan rutin harian di tempat kerja, sesi seni di taman ini telah menyegarkan minda dan jiwa saya. Ini merupakan alternatif yang baik untuk menenangkan fikiran selain daripada mengunjungi pusat membeli-belah pada hujung minggu. Saya tidaklah sepandai Eelin dalam seni dan kraftangan, tetapi tetap berasa seronok mengikuti sesi yang menarik ini."

Semua peserta "Art In The Park" diberikan kit lukisan termasuk Pensil Warna Air Faber-Castell baru, pensil grafit hitam Tri-Grip 2B yang ergonomik dan dipatenkan, pengasah pensil dan berus cat air.


Rangkaian pensil warna air Faber-Castell diperbuat daripada grafit yang selamat untuk kanak-kanak. Produk ini menonjolkan inovasi pembungkusan yang dipanggil Wonder Box – sebuah bekas khas yang lutsinar dengan pemegang yang boleh digunakan sebagai penegak bagi menampilkan rangkaian pensil warna supaya ianya mudah dipilih, selain menjadikannya muda dibawa ke sekolah mahupun ke kelas seni.

Bekas ini juga mudah untuk ditanggalkan dan diletak di mana sahaja, sedia untuk digunakan.

Rangkaian Pensil Warna Air Faber-Castell berharga antara RM7.90 – RM59.90 dan boleh didapati di kedai buku dan pasar raya terkemuka di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut mengenai syarikat dan pelbagai produknya, sila layari www.faber-castell.com.my

2 comments :

Siti Zawiyah Rahmat said...

Bagus ada aktiviti macam ni..

budakbandunglaici said...

seronoknya kalu bawak adik2 join sama