Thursday, July 28, 2016

Super Spontan Superstar Ganding 16 Bintang Terkenal

Hi Korang,

Mesti korang tak sabar nak tonton Super Spontan Superstar ni kan? 

Aku pun sama gak

Ni aku kongsikan sedikit info mengenai Program realiti komedi spontan popular ni ek

Para peserta Super Spontan Superstar

Super Spontan kembali dengan musim terbarunya, menampilkan 16 bintang yang tidak asing lagi! Lebih istimewa tahun ini, dua personaliti media sosial terkenal bakal menghangatkan gelanggang SuperSpontan dan memberi saingan hebat kepada pemain SuperSpontan Superstar lain yang terdiri daripada para selebriti dan pelawak popular tanahair. Jika sebelum ini, Zizan Razak pernah dinobatkan sebagai juara musim pertama dan musim keempat selain Jep Sepahtu untuk musim kedua, edisi kali ini turut menyaksikan kembalinya juara musim ketiga, Johan Raja Lawak bagi memburu kejuaraan keduanya!

Masih mengekalkan format asal, program realiti Super Spontan Superstar bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (UPM), Serdang pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam mulai 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD (Saluran 134).


Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro; Encik Bob Azrai berkata, “Super Spontan merupakan satu program yang dinanti-nantikan peminat saban tahun sejak ia mula diperkenalkan empat tahun lalu. Jadi tahun ini, selain membawakan barisan pelawak dan selebriti pujaan tanahair, kami turut menampilkan personaliti media sosial popular ke dalam skuad Super Spontan Superstar. Kebolehan mereka menampilkan pelbagai idea menarik di akaun media sosial masing-masing amat sesuai digabungkan dengan permainan SS yang bersahaja, menarik dan mencuit hati”.

“Melihatkan sambutan yang diterima program ini dari tahun ke tahun, kami sentiasa cuba mencari kelainan dan pemilihan karakter peserta yang penuh variasi ini menjanjikan satu pertarungan yang cukup hebat bila mana idea serta kebolehan 16 individu berbeza disatukan di atas pentas Super Spontan Superstar. Tentunya musim kali ini akan bertambah meriah dengan kehadiran personaliti media sosial, Zukiee dan Jamal yang mempunyai pengikut tersendiri di dunia maya”, tambah Bob lagi.

Sama seperti musim terdahulu, Super Spontan Superstar meneruskan konsep berhibur sambil beramal apabila setiap pasukan yang memenangi pusingan mingguan berpeluang menyumbangkan wang tunai RM 5,000 kepada selebriti veteran terpilih ataupun para seniman yang memerlukan pembiayaan perubatan, sesuai dengan konsep ‘Superstar’ untuk mengangkat jasa insan-insan seni yang telah pun berbakti kepada dunia hiburan tanahair. 

“Dalam pada kita berhibur, terdapat juga insan yang memerlukan dan oleh sebab itulah, Super Spontan mahu menabur bakti kembali kepada rakyat Malaysia yang telah banyak menyokong kami selama ini. Cara amal sebegini bukan sahaja memberi peluang pada kami mendekati mereka yang tidak berkemampuan tetapi juga diharapkan menjadi pendorong kepada selebriti mahupun penonton di rumah untuk melakukan kebaikan tidak kira siapa pun ada, dan di mana juga anda berada”, ulas Bob lagi. 

Selain Johan Raja Lawak, Super Spontan Superstar turut menyaksikan penyertaan isteri pemenang Anugerah Top Top Meletop ini iaitu Ozlynn di samping Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, serta Jamal dan Zukiee. Mereka akan melontarkan idea bernas masing-masing bersama-sama barisan pelawak negara yang cukup dikenali iaitu Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Tauke, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz.

Afdlin Shauki, komentator Super Spontan Superstar

Berbeza berbanding musim sebelum ini, setiap pasukan tidak akan mempunyai pengurus sebaliknya seorang selebriti dilantik mengetuai kumpulan masing-masing. 16 selebriti ini akan dipecahkan kepada dua kumpulan seperti biasa, di mana Johan Raja Lawak dan Tauke Raja Lawak dipilih memimpin barisan peserta yang lain. Mereka akan diundi sama ada menyertai kumpulan Harimau Hipster ataupun Monyet Mafia pada sidang media yang diadakan hari ini. Program yang akan bersiaran selama 10 minggu ini akan menyaksikan penyingkiran dilakukan minggu ke minggu di mana pada akhirnya, seorang pemain akan dijulang sebagai juara Super Spontan Superstar.

Gelagat para peserta ketika cabutan undian kumpulan

Menyedari akan kehebatan Dato’ AC Mizal yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi, disertakan pula dengan nama beliau yang begitu sinonim dengan jenama Astro Warna, beliau sekali lagi ditugaskan untuk mengemudi program ini. Dato’ AC Mizal bakal ditemani pelawak genit, Amir Raja Lawak yang akan muncul menghangatkan suasana selaku pengacara bersama. Pelopor komedi tanahair, Adflin Shauki pula bakal memegang amanah selaku komentator, berpasangan dengan seorang selebriti jemputan yang akan diundang setiap minggu bagi melontarkan komen-komen bernas tentang persembahan peserta yang bertanding. Para peserta akan diuji dengan pelbagai permainan spontan menarik yang pastinya membuatkan anda semua tidak kering gusi!

Jamal & Zukiee

Kumpulan yang mendapat markah terendah perlu menyingkirkan salah seorang peserta kumpulan mereka. Musim ini, elemen ‘rantai kebal’ diperkenalkan di mana peserta terbaik berpeluang mendapatkan kelebihan ini. Rantai kebal mampu menyelamatkan peserta daripada tersingkir minggu tersebut dan juga boleh diberikan kepada peserta lain seandainya pemenang rantai kebal yakin akan kekebalan hakikinya. Namun begitu, di minggu ke berapa rantai kebal ini akan diberikan masih menjadi rahsia. Persembahan mingguan akan diadili berdasarkan format permarkahan yang ditentukan sepenuhnya melalui undian SMS daripada penonton dan menerusi laman web rasmi di www.superspontan.com.my. Talian untuk menghantarkan undian akan mula dibuka pada 5 Ogos 2016. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Juara Super Spontan Superstar akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.00. Manakala Naib Juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing akan memenangi RM 50,000.00 dan RM 25,000.00. Sementara pemenang tempat keempat, kelima dan keenam turut membawa pulang wang tunai RM 5,000.00 setiap seorang. Super Spontan turut mendapat tajaan minuman tenaga Drive M7 dan Go Shop yang menaja baucer membeli-belah bernilai lebih RM 10,000 sebagai hadiah mingguan serta hadiah utama Peraduan Kata Kunci Super Spontan Superstar untuk dimenangi penonton di rumah.

15 minit sebelum bermulanya siaran langsung, dua penyampai popular radio rasmi Super Spontan, Era FM iaitu Jaa dan Hani akan muncul bagi mengacarakan ‘Era Spontan’ yang akan mengupas perkara hangat yang berlaku di belakang pentas selain membuat ramalan bintang mana yang berpotensi meninggalkan serta menyerlah di pentas Super Spontan pada setiap minggu. Astro Gempak pula berperanan selaku portal digital rasmi Super Spontan Superstar!

Jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan Super Spontan Superstar pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam bermula 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD ( Saluran 134).


No comments :