Sunday, July 24, 2016

Majlis Pelancaran Album OST Filem Mawar Putih

Hi Korang,

Sedikit info hiburan dihujung minggu ni ek..


Bakat baru kelahiran Singapura, Tiesha Syed Latiff Shah atau lebih mesra dengan panggilan Tiesha telah diperkenalkan kepada media tempatan sewaktu majlis pelancaran album runut bunyi filem Mawar Putih, filem terbaharu arahan Seniwati Negara, Dato’ Rosnani Jamil. Tiesha yang juga merupakan anak bongsu pelakon Herdawatie ini, merupakan generasi ketiga dalam keluarga seni Allahyarham Datuk Jamil Sulong, telah pun melengkapkan cabang seni keluarga mereka bila menceburi bidang nyanyian ini. 



Dua buah lagu yang terkandung di dalam album ini adalah ‘Kau Yang Ku Panggil Cinta’ dan ‘Kamar Rindu’. Kedua duanya digubah indah oleh pemuzik hebat tanahair, Saudara S. Atan. Lirik bagi lagu ‘Kamar Rindu’ merupakan hasil nukilan Siso, manakala bagi lagu ‘Kau Yang Ku Panggil Cinta’, liriknya telah ditulis sendiri oleh Rosnani. 

“Tiesha mengharapkan agar para peminat seni muzik di Malaysia akan suka dengan lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini, sekaligus memberikan sokongan pada buah tangan terakhir Mak Tok," katanya sambil tersenyum manis. 

Berkongsi pengalaman sewaktu merakamkan lagu-lagu ini, Tiesha mengakui pada mulanya dia berasa berdebar sebelum memasuki studio rakaman. Berkat galakan dan bimbingan komposer tersohor tersebut, Tiesha berjaya menyudahkan rakaman hanya dalam tempoh dua hari sahaja. 

“Tidak sukar sebenarnya untuk Tiesha cari mood waktu hendak merakamkan lagu ‘Kau Yang Ku Panggil Cinta’. Sebabnya Mak Tok sudah bersedia dengan filemnya untuk Tiesha tonton, biarpun filem itu belum menjalani proses pasca penerbitan. Tiesha disuruh tonton filem yang belum dimasukkan audio itu. Namun, Tiesha faham apa yang Mak Tok cuba sampaikan menerusi filem tersebut. Sebak juga Tiesha dibuatnya dan ia adalah bonus untuk Tiesha kerana dapat menjiwai lagu tersebut dengan lebih mudah,” jelas Tiesha lagi. 


S. Atan turut berkongsi pengalamannya bersama Tiesha di dalam majlis tersebut. Menurutnya, kedua-dua buah lagu itu dicipta khusus untuk filem ‘Mawar Putih’. Setelah dimaklumkan bahawa lagu tersebut akan digunakan sebagai lagu tema sebuah filem, komposer terkenal ini segera mengilhamkan dua buah lagu yang mempunyai melodi unik dan tidak jemu didengar. Menurut S.Atan lagi, dia mahu pendengar terus terpikat dengan lagu tersebut, biarpun baru pertama kali mendengarnya. 


Dalam majlis tersebut, para hadirin turut berpeluang mendengar alunan suara Tiesha secara ‘live’ . Majlis telah turut diserikan dengan kehadiran presiden dan ahli Persatuan Veteran RTM, Pertubuhan Wanita Sabah, dramatis Aznah Hamid yang ditemani anaknya Shera Iskandar, Mas Omar dan isterinya Sawiah, pelakon cantik Julia Ziegler dan kemunculan istimewa heroin ‘Mawar Putih’ sendiri, Reen Rahim. 

SAKSIKAN FILEM MAWAR PUTIH YANG BAKAL DITAYANGKAN DI PAWAGAM BERHAMPIRAN ANDA BERMULA 18 OGOS 2016.

1 comment :

Unknown said...

eh..muka dia ada iras2 sikit la dengan nas adila..sikit je la..Nas adila dia putih sikit kulit dia..