Sunday, May 28, 2017

Botaneco Garden dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia Lancar Kempen ‘Plant A Seed, Grow A Forest’ Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2017

Hi Korang,

Hari Alam Sekitar Sedunia merupakan acara tahunan terbesar yang menyokong alam semula jadi kearah yang lebih positif. Tema sambutan tahun ini adalah Mengeratkan Hubungan Antara Manusia dengan Alam Sekitar (Connecting People to Nature). Ia merupakan peringatan bahawa kita adalah sebahagian daripada alam sekitar dan bergantung kepadanya, selain menyeru melindungi bumi yang kita kongsi bersama ini. 


Sebagai maklum balas terhadap seruan itu, Botaneco Garden, jenama produk penjagaan rambut serta badan yang inovatif dan sofistikated, yang diperbuat daripada gabungan kandungan botanikal dan minyak-minyak yang mendapat pengiktrafan eco; menjalin kerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia untuk melancarkan kempen ‘Plant A Seed, Grow A Forest’. 

Kempen ‘Plant A Seed, Grow A Forest’ akan menyalurkan satu peratus daripada jualan semua produk Botaneco Garden sepanjang bulan Jun kepada usaha penghutanan semula paya bakau oleh Persatuan Pencinta Alam di Kuala Selangor.

Persatuan Pencinta Alam (MNS) ialah persatuan bukan kerajaan yang paling besar dan tertua di Malaysia. Fokus MNS adalah untuk memulihara kepelbagaian habitat di Malaysia, melindungi warisan alam semula jadi negara, terutamanya landskap ekologi yang sensitif. Hutan paya bakau dikategorikan sebagai landskap ekologi yang sensitif. 

Paya bakau memberi pelbagai manfaat kepada ekosistem. Ia menyediakan tempat tinggal serta makanan kepada haiwan akuatik dan marin, serta burung-burung yang bermigrasi. Ia juga bertindak sebagai penampan ribut, penampan pasang surut dan arus air, mengurangkan pencemaran air serta menghalang hakisan tanah di bahagian pantai. 


Produk-produk Botaneco Garden merangkumi Organic Argan & Virgin Olive Oil, Organic Inca Inchi & Aloe Vera serta rangkaian Trio Oil yang revolusionari. Koleksi itu terdiri daripada Pembersih Badan, Mentega Badan, Krim Badan, Krim Pelembap Badan, Krim Mentega Badan), Skrub Badan, Krim Tangan serta Losen Badan, selain dari koleksi penjagaan rambut iaitu Syampu Rambut, Perapi Rambut dan Serum Rambut. Ia boleh didapati secara eksklusif di cawangan Guardian seluruh negara dan Guardian e-store. Terdapat lebih 400 cawangan Guardian di seluruh negara.

Menurut Pengarah Pemasaran Guardian Malaysia Sdn. Bhd., Christina Low, sokongan Botaneco Garden terhadap Hari Alam Sekitar Sedunia dilihat selari dengan falsafah jenama serta gaya hidup dan keprihatinan para penggunanya. 

“Botaneco Garden mempunyai kelompok pengguna yang bijak dan sayangkan alam sekitar. Koleksi ini mengandungi ramuan yang mesra alam dan ditawarkan pada harga mampu milik. Pada masa sama, ramuan terpilih ini dihasilkan secara beretika dan prihatin kepada alam untuk memenuhi keperluan pengguna yang mengambil berat terhadap alam semula jadi, seterusnya mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya. 

“Kempen ‘Plant A Seed, Grow A Forest’ dengan MNS yang membantu usaha penghutanan semula kayu bakau di Kuala Selangor sememangnya cukup sesuai dengan kami dan pengguna. Sebab itulah kami menganjurkannya sepanjang bulan Jun ini,” jelas Low. 

Katanya, jenama ini telah menetapkan sasaran untuk menanam 200 batang pokok kayu bakau daripada dana yang dapat dikumpulnya nanti. 

“Kami harap pengguna akan mendalami dan mempraktikkan mesej Hari Alam Sekitar Sedunia 2017 iaitu Mengeratkan Hubungan Antara Manusia dengan Alam Sekitar, serta memberikan sokongan mereka terhadap kempen Plant A Seed, Grow A Forest’.” 


Formulasi koleksi produk Botaneco Garden bebas daripada kandungan berbahaya seperti parabens, sabun, pewarna dan silikon. Ini memberi ketenangan minda kepada pengguna yang mementingkan kesihatan dan produk yang mesra alam. Ia juga diuji dan terbukti dari segi dermatologi. 

Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam, I.S Shanmugaraj Subramaniam menyatakan bahawa sokongan terhadap langkah pemuliharaan alam sekitar semakin berkembang di Malaysia. Jenama-jenama seperti Botaneco Garden membantu meningkatkan kesedaran, selain menyediakan landasan untuk para pengguna mengambil bahagian dan memberikan sumbangan. 

“Kesedaran tentang pentingnya hutan kayu bakau kepada ekosistem sungai dan pasang surut air masih rendah. Usaha seperti kempen ‘Plant A Seed, Grow A Forest’ oleh Botaneco Garden dan MNS cuba membawa mesej penting ini kepada orang ramai dan menjadikannya lebih jelas. Para pengguna boleh memberi sokongan terhadap usaha ini dan melawat Kuala Selangor untuk Mengeratkan Hubungan Antara Manusia dengan Alam Sekitar. Di samping dapat melihat bagaimana sokongan mereka kepada Botaneco Garden boleh membantu menghasilkan sebuah hutan,” kata Shanmugaraj.

Taman Alam Kuala Selangor merupakan habitat buat 150 spesis burung, haiwan-haiwan kecil, ikan, amfibia dan reptilia seperti memerang, langur (Silvered Leaf-monkey), kera berekor panjang serta banyak lagi. Namun begitu, penebangan kayu bakau secara haram telah meletakkan habitat ini dalam bahaya dan usaha penghutanan semula memang perlu dilaksanakan. 

Kempen ‘Plant A Seed, Grow A Forest’ Botaneco Garden bermula pada 1 Jun dan berakhir 30 Jun 2017. Kunjungi cawangan Guardian berhampiran anda untuk menyokong kempen ini. 

2 comments :

sitirohaida said...

bagus jugak kempen kesedaran macam ni,so xdelah banyak pencemaran dalam negara kita ni

mamapp said...

Bagus kempen ni. Sedih bila tgk byk pokok Dan hutan gondol angkara manusia