Salam Semua,
Festival Raya berskala nasional dan antarabangsa, Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026, bakal mencipta fenomena tersendiri apabila berlangsung selama 88 jam tanpa henti di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) bermula 12 hingga 15 Mac 2026.
Seiring dengan slogan rasmi festival, “Lebih Banyak, Lebih Masa, Let’s Raya!”, penganjuran ini menawarkan pengalaman menyeluruh merangkumi ibadah, membeli-belah, hiburan dan penjenamaan dalam satu acara berskala besar.
Menurut Pengarah Projek, Kelly Azman, keunikan utama Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 terletak pada pemisahan zon masa yang dirangka bagi memastikan kesantunan serta roh Ramadan terus terpelihara.
“Dari waktu siang hingga awal malam, pengisian lebih menjurus kepada aktiviti keagamaan dan kerohanian. Manakala dari malam hingga awal pagi pula, festival dimeriahkan dengan aktiviti fesyen, kecantikan, perniagaan serta hiburan yang terkawal dan bersesuaian,” katanya.
Tambah Kelly, festival ini menyasarkan lebih satu juta pengunjung sepanjang 88 jam penganjuran, melibatkan pelbagai segmen termasuk keluarga, usahawan dan peniaga, peminat fesyen serta kecantikan, pencipta kandungan digital, selain pelawat tempatan dan antarabangsa.
Bagi menambah keterujaan pengunjung, festival ini turut menyajikan pelbagai tarikan eksklusif termasuk segmen ‘Happy Hour Hujan Duit’ yang diadakan pada waktu-waktu tertentu sepanjang penganjuran, dengan nilai wang tunai sehingga RM18,888.
Selain itu, kemuncak festival pastinya menerusi cabutan bertuah bernilai sehingga RM188,888, sekali gus menjadikan acara ini antara festival Raya paling dinanti-nantikan tahun ini.
Pemilihan tarikh penganjuran iaitu 10 hari sebelum Aidilfitri dilihat amat strategik memandangkan tempoh tersebut merupakan waktu kemuncak orang ramai membuat persiapan Hari Raya.
“Pada waktu ini, pengunjung hadir dengan fokus membeli. Jualan vendor biasanya melonjak seolah-olah berniaga selama dua bulan dalam satu masa,” jelasnya.
Festival ini turut dikuatkan dengan penglibatan 88 selebriti dan pempengaruh, yang terlibat secara langsung menerusi aktiviti pentas, penghasilan kandungan digital secara langsung serta kolaborasi bersama jenama.
Pendekatan ini menjadikan Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 antara acara Raya terbesar dari segi pengaruh digital di Malaysia, disokong strategi pemasaran menyeluruh merangkumi sidang media, liputan televisyen, radio, papan iklan sekitar Kuala Lumpur, pemasaran media sosial serta kandungan digital sebelum dan sepanjang acara.
Pemilihan WTC KL sebagai lokasi penganjuran turut meningkatkan kredibiliti festival, keyakinan vendor serta nilai jenama yang terlibat. Dikenali sebagai lokasi ikonik dan berprestij, WTC KL menawarkan infrastruktur 24 jam, sistem keselamatan serta operasi matang yang sesuai untuk konsep penganjuran tanpa henti selama 88 jam.
Menariknya, festival ini bukan sekadar platform jualan, sebaliknya turut memberi fokus kepada penjenamaan jangka panjang dengan penyertaan pelbagai jenama besar tempatan.
Festival ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis, manakala tugas pengacaraan dikendalikan oleh Kelly Azman, Watie Elite, Ahfad dan Sudirman Mohd Tahir.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini festival ini menerusi media sosial rasmi @letsrayawtc, @gerobokbiru serta menggunakan hashtag #letsrayagegakgempitaraya2026.
No comments :
Post a Comment