Tuesday, July 8, 2025

FiTA RAI KOMUNITI ORANG ASLI MELALUI LINTAS LOKA: JIWA, ALAM & WARISAN ORANG ASLI

Hi Semua,

Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana mengambil inisiatif merapatkan hubungan dengan komuniti Orang Asli melalui penganjuran program Lintas Loka: Jiwa, Alam & Warisan Orang Asli.



Mengangkat slogan “Dari Rimba ke Jiwa: Cerita Warisan Hidup”, program ini bukan sekadar platform kebudayaan, malah menjadi wadah wacana dan apresiasi terhadap asal usul, alam semula jadi dan nilai kolektif Orang Asli yang menjadi teras identiti warisan Malaysia. Program ini menampilkan elemen seni persembahan, pameran dan wacana mengenai komuniti Orang Asli.




Menurut Koordinator Program Pengurusan Industri Kreatif, Dr. Hazlin Anita Abidin, penganjuran program ini mampu mendidik pelajar untuk lebih prihatin terhadap komuniti minoriti, di samping memperkukuh kemahiran insaniah (soft skills) dalam kalangan bakal graduan.

Penasihat Program, Duratul Ain Dorothy Jonathan Linggang, turut menyatakan bahawa Lintas Loka adalah satu proses pendidikan insani yang merentasi teori dan amalan. Pelajar bukan sahaja mempelajari budaya, tetapi turut memikirkan cara menterjemahkannya dalam bentuk fizikal seperti bengkel, pameran dan persembahan.

Program ini mempunyai tiga komponen utama iaitu Persembahan Langkah Tradisi (gabungan nyanyian, tarian dan lakonan berasaskan tradisi Orang Asli), Pameran Akar dan Jiwa (pameran gaya hidup, seni kraftangan dan elemen warisan masyarakat pribumi), serta Bengkel dan Wacana: Mutiara Tradisi (sesi interaktif yang menampilkan perkongsian ilmu bersama tokoh komuniti dan akademik.

Kesemua program ini akan berlangsung dari 2 hingga 5 Julai 2025 bertempat di Ruang Eksperimental FiTA (REF) dan Dewan Seminar Fita 2, UiTM Puncak Perdana. 


Untuk maklumat lanjut, sila layari laman media sosial Instagram di @serenosproduction atau @kitahouse.official, atau hubungi Nur Aida Syairah, Pengarah Promosi dan Publisiti di talian 018-2504694



Monday, July 7, 2025

Nestlé Malaysia Ganding Bahu dengan UiTM, APU & MUST untuk tingkatkan kemahiran digital dan kebolehpasaran graduan muda

Hi Semua,

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memperkasakan belia dan membangunkan bakat, Nestlé Malaysia telah memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), dan Malaysia University of Science and Technology (MUST). Kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan amali tersusun dalam bidang Pembuatan dan Rantaian Bekalan di Nestlé Malaysia, lantas meningkatkan kemahiran digital dan pengalaman bekerja, yang seterusnya melengkapkan mereka untuk berkembang maju dalam dunia kerjaya yang semakin dinamik dan digital.


Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program “Nestlé Needs Youth” dan juga menyokong keutamaan untuk membangunkan bakat negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, inisiatif Penambahbaikan TVET, Strategi Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 dan Rangka Kerja Ekonomi Madani. Dengan penekanan kukuh terhadap transformasi digital dan inovasi, kerjasama ini bertujuan melahirkan graduan yang sedia untuk menyahut cabaran masa depan, yang boleh memberikan sumbangan bermakna kepada pertumbuhan Malaysia. Inisiatif ini melengkapi beberapa inisiatif “Nestlé Needs Youth” sedia ada lain di Malaysia, yang dilaksanakan menerusi pengambilan pekerja secara langsung, latihan amali atau program keusahawanan yang menyokong beribu-ribu anak muda Malaysia setiap tahun.

Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, berkata, “Selaras dengan usaha Malaysia membina ekonomi yang terangkum dan maju dari segi digital, kita perlu memastikan bahawa bakat muda kita dilengkapi dengan keupayaan teknikal dan kemahiran digital untuk menempa kejayaan. Sebagai sebahagian daripada program berterusan “Nestlé Needs Youth”, kami sukacita untuk berganding bahu dengan institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia yang terkemuka untuk memperkasakan graduan baharu atau bakal graduan dengan kelengkapan, pengalaman dan ketetapan minda yang sewajarnya untuk meningkat naik dalam dunia kerjaya profesional.

YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), berkata, “Kerjasama strategik antara Nestlé dan institusi akademik ini merupakan contoh terbaik bagaimana jalinan antara pendidikan dan industri dapat diperkukuhkan. Melalui penyediaan pengalaman serta pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar, kita dapat melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan. Di MPC, kami percaya bahawa produktiviti bermula dengan modal insan – dan inisiatif bersama seperti ini memainkan peranan penting dalam membina bakat, mempercepatkan proses pembelajaran, serta memperkukuh daya saing ekonomi negara secara berterusan.”

Pelajar boleh memanfaatkan peluang menyertai latihan amali dalam fungsi-fungsi perniagaan Nestlé, termasuk rantaian bekalan, kejuruteraan, kelestarian, pendigitalan dan jaminan kualiti. Penempatan kerja ini akan memberikan pendedahan dunia sebenar, melengkapkan pelajar dengan pengalaman praktikal dan kefahaman lebih mendalam tentang jangkaan industri. Kumpulan awal 10 pelajar telah dikenal pasti, dan sehingga 100 pelajar dijangka mengambil bahagian dalam fasa pertama program sepanjang tempoh 6 bulan akan datang.

Program ini memperkenalkan pelajar kepada alat digital dan teknologi canggih, serta juga usaha menggabungkan kelestarian di dalam proses operasi. Matlamatnya adalah untuk memupuk pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah dan kemahiran digital, ciri-ciri penting bagi mencapai kejayaan dalam dunia kerjaya moden.

Pelajar seterusnya diberi sokongan menerusi proses pembangunan bakat komprehensif yang termasuk bimbingan daripada profesional Nestlé, ceramah jemputan oleh para pemimpin industri dan juga laluan kesediaan kerjaya. Sebuah sistem maklum balas dan penilaian prestasi akan memberikan panduan berkala, di samping membolehkan Nestlé mengenal pasti calon-calon berprestasi terbaik untuk menyediakan peluang prapekerjaan.

Sambil Nestlé Malaysia terus meluaskan program “Nestlé Needs Youth,” kerjasama ini menekankan lagi peranan Syarikat sebagai penggalak yang membuka peluang pekerjaan bermakna. Dengan memenuhi aspirasi negara dan bekerjasama rapat dengan institusi akademik tempatan utama, Nestlé bertekad untuk membantu membina tenaga kerja Malaysia yang berwibawa dan dilengkapi dengan nilai dan visi untuk membina masa depan yang lebih baik.

Majlis tandatangan tersebut telah dihadiri oleh YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Prof. Ts. Shafinar binti Ismail, Dekan, UiTM; Profesor Dr. Ho Chin Kuan, Naib Canselor APU; dan En. Thiagarajan Marappan, Pensyarah Kanan MUST. Turut hadir ialah wakil-wakil lain daripada universiti dan anggota pasukan kepimpinan Nestlé Malaysia.


Saturday, July 5, 2025

Nestlé Koko Krunch dan MYDIN Hidupkan Suasana Ceria dan Kreatif untuk Keluarga dan Masyarakat di Subang Jaya

Hi Semua,

Sebagai tanda komitmen bersama dalam membantu komuniti, Nestlé Koko Krunch dan MYDIN telah menganjurkan pertandingan mewarna istimewa di MYDIN USJ, dengan menyambut kehadiran kanak-kanak dari Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.


Program ini adalah sebahagian daripada kempen “Kita Bawa Sarapan yang Bermakna” yang merealisasikan hasrat Nestlé Koko Krunch untuk membantu pertumbuhan kanak-kanak melalui pemakanan seimbang dan pengalaman positif.

Encik Philip Joe, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestlé Cereal Partners Worldwide (CPW) Malaysia & Singapura berkata, “Di Nestlé, kami percaya bahawa permulaan hari yang positif bukan sekadar bersarapan – ia juga tentang menyebarkan kebaikan kepada orang di sekeliling kita. Kami amat berbesar hati dapat meluangkan masa bersama anak-anak di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, dan bersyukur atas peluang untuk berkongsi detik-detik yang menggembirakan bersama mereka. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membawa sedikit keselesaan dan sokongan kepada mereka. Inisiatif ini, yang dijalankan bersama MYDIN, mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mencipta nilai bersama dan memberi semula kepada komuniti yang kami sokong.”

Bagi terus menyokong keperluan harian dan kebajikan anak-anak di rumah tersebut, Nestlé Koko Krunch telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada mereka. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Puan Michelle Ng Mei Sze, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, yang turut meluangkan masa bersama kanak-kanak sepanjang aktiviti yang berlangsung pada pagi itu.

Datuk Wira Ameer Ali, Pengarah Urusan MYDIN turut berkongsi, “Sebagai peruncit yang berbangga dengan akar umbi Malaysia, kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada kempen yang menyatukan keluarga dan masyarakat dengan cara yang bermakna. Inisiatif ini adalah peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas mampu memberi kesan yang besar, khususnya apabila kita berganding bahu menyokong mereka yang memerlukan di sekeliling kita.”

Selepas sesi bersama anak-anak di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah pada sebelah pagi, program diteruskan dengan pertandingan mewarna yang dibuka kepada orang ramai di MYDIN USJ. Pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan, termasuk permainan, aktiviti seni pasir, serta gerai percubaan produk, mewujudkan suasana meriah dan penuh keceriaan untuk semua pengunjung.



Program ini juga merupakan sebahagian daripada Pertandingan Mewarna Koko Kraf Club yang sedang berlangsung di cawangan runcit seluruh negara, dengan tujuan menggalakkan kanak-kanak mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni. Sebagai sebahagian daripada kempen ini, sebahagian hasil jualan bijirin sarapan Nestlé di semua cawangan MYDIN seluruh negara telah disalurkan untuk menyokong Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.

Koko Kraf Club mencerminkan komitmen berterusan Nestlé Koko Krunch dalam memperkasakan golongan muda melalui seni dan kraftangan, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Tahun ini, Koko Kraf Club turut mengetuai penganjuran pertandingan kolaj yang melibatkan sekolah rendah di seluruh negara.