Friday, April 3, 2026

Pengambilan Suplemen Secara Bertanggungjawab: Mengapa Rakyat Malaysia Harus Jadi Teladan

Hi Korang,

Dengan tahap kefahaman lebih mendalam tentang kesihatan dan kesejahteraan, pengguna hari ini mempunyai kesedaran tentang kepentingan amalan menjaga kesihatan dan mengelakkan kunjungan ke klinik atau hospital. Penjagaan kesihatan menerusi pencegahan menjadi keutamaan kepada pengguna di Asia Pasifik (APAC), dengan 92% berkata amalan ini amat penting kepada kesejahteraan secara keseluruhan. Malah angka ini lebih tinggi iaitu mencecah 95% di Malaysia, menurut satu tinjauan baru-baru ini oleh Herbalife.

Dr. Alex Teo, Pengarah, Penyelidikan, Pembangunan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife berkata, “Ramai yang sedang berusaha untuk meningkatkan tahap kesihatan masing-masing, termasuk bertekad untuk membuat pilihan makanan lebih sihat, bersenam dan mengambil makanan tambahan atau suplemen untuk kesihatan. Hari ini, suplemen dilihat sebagai cara untuk menyokong kesihatan secara keseluruhan, meningkatkan sistem imun dan membantu individu mencapai matlamat kesihatan masing-masing. Pengambilan suplemen lazimnya dicadangkan oleh doktor, pakar pemakanan, syarikat penjagaan kesihatan dan juga rakan-rakan.”


Didapati dua daripada lima pengguna di Malaysia mengambil suplemen secara kerap, menurut tinjau selidik Herbalife yang melibatkan 9,000 pengguna di 11 pasaran pada bulan Mei 2025. Pada masa yang sama, tinjauan tersebut juga mendedahkan trend yang membimbangkan – hanya 65% daripada orang yang ditinjau selidik yakin bahawa mereka membuat keputusan yang betul tentang pemakanan tambahan.

Pemilihan suplemen secara bertanggungjawab bermakna kita perlu memahami dengan teliti komposisi ramuan pemakanan kesihatan, kualiti produk, dos cadangan, had penggunaan dan potensi interaksi dengan makanan tambahan dan ubat-ubatan lain. Tanpa ilmu yang menyeluruh, pengguna mungkin mendapati sukar untuk mendapat manfaat daripada makanan tambahan yang selamat dan berkesan dan menggiatkan usaha penjagaan kesihatan pencegahan masing-masing.


Jurang Ilmu Pengguna


Untuk mengatasi cabaran ini, kita perlu memahami di manakah wujudnya jurang dalam ilmu pengetahuan pengguna tentang suplemen. Dari segi peringkat umur, tinjauan Herbalife mendapati bahawa pengguna kurang jelas tentang cara mengambil suplemen secara selamat dan berkesan. Lebih membimbangkan, mereka tidak sedar tentang dos yang sesuai dan had atas bagi suplemen yang diambil, terutamanya jika mereka mengambil beberapa suplemen. Dalam kalangan peserta Malaysia, seramai 24% tidak sedar tentang kesan pengambilan suplemen kesihatan berlebihan.


Menurut Dr. Teo, berasaskan hasil tinjauan, separuh daripada responden dalam kalangan golongan Boomer di APAC mengambil suplemen setiap hari, tetapi hanya 30% yang prihatin untuk membuat keputusan suplemen serba maklum, menjadikan mereka kumpulan yang paling kurang prihatin. Mereka juga paling kurang yakin, dengan hanya 42% menyuarakan keyakinan dalam keputusan pemakanan tambahan mereka berbanding kumpulan umur lain. Sebaliknya, Gen Z ialah golongan yang paling yakin tentang kepentingan membuat keputusan serba maklum (47%) dan paling yakin (58%) dalam keupayaan mereka untuk membuat keputusan yang bijak tentang pengambilan suplemen.

Satu lagi kebimbangan ialah pengguna kurang memahami bagaimana suplemen mereka boleh memberi kesan atau bertindak balas dengan ubat-ubatan yang mereka ambil.Sebagai contoh, produk herba St. John’s Wort berpotensi mengurangkan keberkesanan ubat seperti warfarin dan statin tertentu. Satu lagi contoh ialah penggunaan suplemen kalsium yang lazimnya diambil untuk membina dan mengekalkan kekuatan tulang. Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan hiperkalsemia, iaitu keadaan di mana paras kalsium di dalam darah menjadi terlalu tinggi dan menyebabkan kelemahan tulang dan batu buah pinggang. Tinjau selidik Herbalife mendapati bahawa 59% daripada responden Malaysia tidak tahu tentang had atas harian bagi pengambilan kalsium, manakala 74% tidak sedar tentang kesan pengambilan berlebihan kalsium.

Kepentingan tanggungjawab bersama


Dari sudut yang lebih positif, responden Malaysia mengakui bahawa mereka sendiri boleh memainkan peranan utama, dengan 84% menyedari betapa pentingnya membuat keputusan yang wajar. Namun begitu, isunya bukan bertumpukan pengguna sahaja kerana kedua-dua penyedia suplemen dan juga pengguna perlu memainkan peranan.

Walaupun pengguna hari ini boleh mendapatkan maklumat dengan mudah, membuat keputusan suplemen yang betul memerlukan sedikit usaha. Mereka perlu membaca label, melakukan kajian sendiri dan mendapatkan panduan daripada sumber yang sahih.

Dalam pada itu, pengguna memerlukan input lebih proaktif daripada profesional yang dipercayai yang mengamalkan pendekatan berasaskan sains kepada pemakanan tambahan. Walaupun kira-kira separuh daripada pengguna Malaysia yang ditinjau selidik oleh Herbalife mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan (58%) sebagai panduan dalam proses membuat keputusan, ada ramai yang tidak berbuat demikian.

Justeru, pelbagai pihak boleh memainkan peranan di sini. Pengguna seharusnya mendapatkan nasihat dan maklumat yang betul, profesional penjagaan kesihatan mesti menyediakan nasihat berlandaskan sains, dan penyedia suplemen perlu menyediakan pelabelan jelas dan komunikasi telus tentang cara untuk pengambilan suplemen yang selamat. Untuk menyokong segala usaha ini, kawalan kualiti produk yang ketat, pengesahan, keselamatan dan jaminan keberkesanan mestilah menjadi faktor asas yang membolehkan pengguna mengambil suplemen dengan yakin.

Mengorak jalan ke arah kesihatan lebih baik


Berlandaskan tinjauan Herbalife, pengguna percaya bahawa pengambilan suplemen memainkan peranan penting untuk menambah baik kesihatan dan kesejahteraan, yang hakikatnya menekankan lagi mengapa suplemen yang sesuai perlu diambil dengan cara yang betul.

Untuk meningkatkan tahap kesihatan, penyedia suplemen perlu bekerjasama dengan pengguna untuk menyokong matlamat kesihatan masing-masing. Syarikat-syarikat pemakanan boleh memainkan peranan yang lebih besar sebagai pemimpin yang mempengaruhi pemikiran, manakala pendidikan pengguna mengenai suplemen seharusnya ditingkatkan untuk memperkasakan pengguna membuat pilihan makanan tambahan yang lebih baik. Dengan berbuat demikian, pengambilan suplemen yang bertanggungjawab boleh dijadikan cara hidup bagi pengguna di seluruh rantau, membantu mereka kekal sihat untuk lebih lama.


No comments :