Hi Semua,
Sebagai tanda komitmen bersama dalam membantu komuniti, Nestlé Koko Krunch dan MYDIN telah menganjurkan pertandingan mewarna istimewa di MYDIN USJ, dengan menyambut kehadiran kanak-kanak dari Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.
Program ini adalah sebahagian daripada kempen “Kita Bawa Sarapan yang Bermakna” yang merealisasikan hasrat Nestlé Koko Krunch untuk membantu pertumbuhan kanak-kanak melalui pemakanan seimbang dan pengalaman positif.
Encik Philip Joe, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestlé Cereal Partners Worldwide (CPW) Malaysia & Singapura berkata, “Di Nestlé, kami percaya bahawa permulaan hari yang positif bukan sekadar bersarapan – ia juga tentang menyebarkan kebaikan kepada orang di sekeliling kita. Kami amat berbesar hati dapat meluangkan masa bersama anak-anak di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, dan bersyukur atas peluang untuk berkongsi detik-detik yang menggembirakan bersama mereka. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membawa sedikit keselesaan dan sokongan kepada mereka. Inisiatif ini, yang dijalankan bersama MYDIN, mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mencipta nilai bersama dan memberi semula kepada komuniti yang kami sokong.”
Bagi terus menyokong keperluan harian dan kebajikan anak-anak di rumah tersebut, Nestlé Koko Krunch telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada mereka. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Puan Michelle Ng Mei Sze, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, yang turut meluangkan masa bersama kanak-kanak sepanjang aktiviti yang berlangsung pada pagi itu.
Datuk Wira Ameer Ali, Pengarah Urusan MYDIN turut berkongsi, “Sebagai peruncit yang berbangga dengan akar umbi Malaysia, kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada kempen yang menyatukan keluarga dan masyarakat dengan cara yang bermakna. Inisiatif ini adalah peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas mampu memberi kesan yang besar, khususnya apabila kita berganding bahu menyokong mereka yang memerlukan di sekeliling kita.”
Selepas sesi bersama anak-anak di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah pada sebelah pagi, program diteruskan dengan pertandingan mewarna yang dibuka kepada orang ramai di MYDIN USJ. Pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan, termasuk permainan, aktiviti seni pasir, serta gerai percubaan produk, mewujudkan suasana meriah dan penuh keceriaan untuk semua pengunjung.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada Pertandingan Mewarna Koko Kraf Club yang sedang berlangsung di cawangan runcit seluruh negara, dengan tujuan menggalakkan kanak-kanak mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni. Sebagai sebahagian daripada kempen ini, sebahagian hasil jualan bijirin sarapan Nestlé di semua cawangan MYDIN seluruh negara telah disalurkan untuk menyokong Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.
Koko Kraf Club mencerminkan komitmen berterusan Nestlé Koko Krunch dalam memperkasakan golongan muda melalui seni dan kraftangan, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Tahun ini, Koko Kraf Club turut mengetuai penganjuran pertandingan kolaj yang melibatkan sekolah rendah di seluruh negara.
No comments :
Post a Comment