Tuesday, May 27, 2025

MR D.I.Y. meraikan kecemerlangan dalam pertandingan seni bertemakan “Identiti dan Kepelbagaian”

Hi Korang,

Dua karya seni yang menyentuh emosi dan menyelami tema kenangan, budaya dan ketabahan telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Utama Pertandingan Seni MR D.I.Y 2025, sejajar dengan tema pertandingan tahun ini, “Identiti dan Kepelbagaian”.

Karya-karya pemenang tersebut – salah satunya menggunakan gabungan foto lama dan media campuran bagi meneroka warisan dan pemeliharaan budaya, manakala satu lagi mengisahkan perjalanan peribadi dan negara semasa pandemik COVID-19 – menonjol dalam kalangan lebih 1,000 penyertaan yang diterima dari seluruh negara.

MR D.I.Y. Group, Yayasan MR. D.I.Y.  and panel judges with the Grand Prize winners Mohd Al-Khuzairie Ali (left) and Nasrin Nadhirah Suhaidi (right)

Kini memasuki tahun keempat penganjurannya, pertandingan tahunan ini dianjurkan oleh Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad, peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, dengan kerjasama cabang amalnya, Yayasan MR D.I.Y. Hasil karya 41 karyawan tempatan telah diiktiraf dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung hari ini di KEN Gallery, Menara KEN TTDI. Lebih RM200,000 hadiah wang tunai telah disampaikan, termasuk RM30,000 dan RM10,000, masing-masing untuk pemenang Hadiah Utama dalam kategori Awam dan Institusi Pendidikan.

Mengulas mengenai inisiatif ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, “Pertandingan Seni MR D.I.Y. meraikan keupayaan seni untuk mencetuskan pemikiran, menghubungkan komuniti dan menginspirasi perubahan. Tema tahun ini, ‘Identiti dan Kepelbagaian,’ menggalakkan karyawan untuk meneroka identiti peribadi dan kolektif dalam masyarakat global masa kini. Kami berharap karya-karya ini mampu menginspirasi rakyat Malaysia untuk meraikan perbezaan, menghargai kisah yang dikongsi bersama, dan memandang dunia dengan empati yang lebih mendalam.”

Beliau turut menambah bahawa sebagai peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, MR D.I.Y. berbangga dapat menyokong bakat tempatan dengan menyediakan platform yang bermakna untuk mereka berkongsi idea, kisah dan kreativiti masing-masing.

Tahun ini juga menyaksikan perluasan pertandingan tersebut ke peringkat serantau buat pertama kalinya. Pemenang peringkat kebangsaan yang diumumkan hari ini akan mewakili Malaysia di pentas serantau, menawarkan platform yang lebih besar dan pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Kami amat teruja untuk mengorak langkah ini kerana ia membolehkan para karyawan kita menyerlah dan menerima penghargaan di peringkat serantau,” kata Ong. “Peluang ini amat besar ertinya kepada para karyawan di seluruh Asia dan merupakan salah satu cara kami menambah nilai kepada komuniti di mana kami beroperasi.”

Hadiah Utama Kategori Awam telah dimenangi oleh Mohd Al-Khuzairie Ali, 41, menerusi karyanya yang bertajuk “In the Mood of Love, Time and Memory”. Dengan menggunakan media campuran dan foto vintaj, Al-Khuzairie meneroka kaitan antara masa, memori dan identiti. Karya ini meraikan kepelbagaian budaya Malaysia sambil menekankan kepentingan pemeliharaan warisan dalam dunia yang sentiasa berubah. Para juri memuji karya seni tersebut kerana kedalaman emosi, lapisan tekstur, dan naratif visualnya yang kuat.

The winners of the MR D.I.Y. Art Competition 2025! 

Bagi Kategori Institusi Pendidikan, Nasrin Nadhirah Suhaidi, 21, pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak, memenangi hadiah utama menerusi karya yang berjudul “Harapan”. Lukisan ini menggambarkan pengalaman peribadi beliau menghadapi kehilangan semasa pandemik, termasuk pemergian ibunya, sambil memberi penghormatan kepada ketabahan dan kekuatan kolektif rakyat Malaysia. Juri menyifatkan karya ini sebagai “sangat menyentuh hati dan penuh harapan dalam kesunyian.”

Kedua-dua pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM30,000 (kategori awam) dan RM10,000 (kategori institusi pendidikan). Mereka akan mara ke peringkat akhir serantau bersama pemenang Anugerah CEO dan pemenang Anugerah Pilihan Pengasas.

Barisan panel juri bagi edisi 2025 terdiri daripada artis tersohor tempatan iaitu Encik Bingley Sim, Cik Leong Mei Yin, Encik Yap Sau Bin, dan Encik Ivan Gabriel, bersama-sama Pengasas dan Penasihat Kumpulan MR D.I.Y., Encik Tan Yu Yeh serta Ketua Pegawai Eksekutif, Adrian Ong.



Orang ramai dijemput untuk mengunjungi pameran karya seni pemenang di Galeri KEN, Menara KEN TTDI, bermula 23 hingga 28 Mei 2025.

Dilancarkan pada tahun 2022, Pertandingan Seni MR D.I.Y. bertujuan untuk memupuk bakat seni tempatan dan menyemarakkan ekosistem kreatif yang inklusif dan dinamik di Malaysia. Menerusi platform ini, MR D.I.Y. dan Yayasan MR D.I.Y. terus memperjuangkan seni dan budaya sebagai pemacu utama dalam membina komuniti, identiti dan hubungan sosial yang bermakna.

Untuk senarai penuh pemenang edisi 2025 dan maklumat lanjut mengenai Pertandingan Seni MR D.I.Y., sila layari laman web mrdiy.com, dan media sosial di Facebook, Instagram, dan TikTok.


















Mengenai Kumpulan MR D.I.Y dan Yayasan MR D.I.Y.

MR D.I.Y. Group (M) Berhad ialah peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 1,400 cawangan di seluruh negara dan di Brunei, merangkumi pelbagai jenama termasuk MR. D.I.Y., MR. DOLLAR dan MR. TOY. Syarikat ini juga merupakan pemegang francais induk untuk jenama EMTOP di Malaysia. Dengan kira-kira 17,000 produk merentasi lima kategori utama, Kumpulan ini komited untuk menawarkan kemudahan, nilai terbaik, dan janji “Always Low Prices” di kedai fizikal dan dalam talian.

Yayasan MR D.I.Y., cabang amal Kumpulan ini, ditubuhkan pada tahun 2023. Yayasan ini memberi tumpuan kepada inisiatif masyarakat dalam bidang pendidikan, kelestarian alam sekitar, serta seni dan budaya. Pada tahun 2024, Yayasan ini telah melaburkan sebanyak RM1.2 juta dalam pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada lebih 95,000 penerima, sejajar dengan misinya untuk memperkasa komuniti dan menghasilkan impak yang berkekalan.



Wakil untuk Pertanyaan Media:




Zuhair Zarudin (Mr)

PR Manager

ROOTS PR

zuhair@rootsasia.com

+6017 398 0387

Siti Aisyah Rosli (Ms)

Assistant Manager (Advertising & Promotion)

MR D.I.Y.

siti.aisyah@mrdiy.com

+6012 346 7744


No comments :