Hi Korang,
PENYANYI JessC berjaya memukau 5,000 penonton yang hadir bagi menyaksikan konsert Jessie Chung World Tour 2025 yang diadakan di Arena Of Stars, Genting Highland pada malam Selasa.
Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu menyajikan sebanyak 33 buah persembahan keseluruhannya. Bukan sahaja menyanyi lagu dalam bahasa Melayu, malah JessC turut tampil dengan lagu bahasa Inggeris dan Mandarin.
Tidak hanya itu, JessC turut mencuri tumpuan apabila menyanyi sambil bermain alat muzik seperti piano, keyboard, dan gitar di atas pentas sekaligus menunjukkan kemahiran muziknya yang luar biasa.
Kehadiran tiga artis undangan seperti Lee An Sheng, Fauziah Latiff, dan Lee An Tian sememangnya menggamatkan lagi suasana konsert pada malam berkenaan.
Berterima kasih atas sokongan padu peminat, JessC, berkata, perkara itu membuatkan dirinya berasa sangat terharu.
Jelasnya, sokongan yang diberikan amat bermakna dan ia menjadi pemangkin buat JessC untuk berusaha lebih gigih bagi mencipta karya-karya yang lebih berkualiti pada masa hadapan.
“Terima kasih banyak atas sokongan anda malam ini!
“Kehadiran anda semua benar-benar buatkan saya rasa terharu!
“Tenaga, sorakan dan cinta anda, semuanya amat bermakna buat saya,” katanya.
Antara lagu yang dinyanyikan oleh JessC adalah My Style, One Chance, Satu Suara Raya, Dekati, Sinaran, Forever Young dan Expose.
Dalam pada itu, kehadiran suami JessC yang naik ke pentas dan memberikan bunga serta ciuman mesra, disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan penonton.
Detik tersebut menjadi salah satu sorotan paling hangat pada malam itu.
Selain bergelar penyanyi, JessC juga merupakan Certified Therapeutic Musician, dengan kelayakan diploma dalam muzik terapi dari United Kingdom dan Sepanyol.
Penyanyi itu turut memiliki Ijazah Kedoktoran dalam Perubatan Klinikal Integratif Cina dan Barat dari Guangzhou University of Chinese Medicine (China), PhD dalam Sains Kesihatan dari Charisma University, serta merupakan Naturopathic Doctor yang diperakui oleh American Naturopathic Medical Certification Board (ANMCB) di Amerika Syarikat.
Dengan latar belakang perubatan serta kepakaran dalam Naturopatik dan terapi muzik, JessC mendedikasikan dirinya untuk menggunakan muzik sebagai alat pemulihan fizikal, emosi, dan rohani.
Melalui melodi yang menyembuhkan hati, lirik yang menjernihkan minda, dan vokal yang meniupkan harapan ke dalam jiwa, karya JessC telah menyentuh ramai pendengar yang sedang bergelut dengan penyakit, kemurungan, kebimbangan, dan detik-detik tergelap dalam hidup.
No comments :
Post a Comment