Wednesday, January 12, 2022

UIAM BANGUNKAN APLIKASI E-SCROLL - PENGESAHAN IJAZAH KE-2

Hi Korang,

Baru-baru ini kak lily berkesempatan ke majlis pelancaran Platform aplikasi E-Skrol anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mana ianya menggunakan teknologi blockchain yang akan digunakan oleh para graduan UIAM dan majlis ini dirasmikan oleh Dato' Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi



Aplikasi ini dibangunkan oleh IIUM Advanced Technologies Sdn. Bhd. (IAT), iaitu salah sebuah anak syarikat UIAM yang pakar dalam pembangunan teknologi. E-Skrol ini dibangunkan bagi mengatasi masalah ijazah palsu yang mana aplikasi ini memudahkan proses pengesahan ijazah yang sebelum ini dilakukan secara manual.

Ia dibangunkan berdasarkan teknologi blockchain, platform ini menyimpan, mengesah dan memaparkan maklumat ijazah yang boleh dicapai melalui aplikasi web di seluruh dunia secara pantas, telus tanpa sebarang gangguan.

November 2018 yang lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menubuhkan sebuah konsortium yang terdiri daripada universiti-universiti awam yang diketuai oleh UIAM melalui IAT bekerja sama dengan pembangun perisian blok rantai NEM, telah berjaya melancarkan aplikasi e-skrol pertama di Malaysia pada September 2019.


Untuk aplikasi yang kedua ini, banyak penambahbaikan yang telah dijalankan dan ianya berbeza dengan aplikasi yang terdahul. Platform E-Skrol ini dibangunkan sepenuhnya oleh IAT menggunakan blok rantaian Ethereum.

Projek ini akan dibiayai dengan geran Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Geran penyelidikan tersebut membolehkan penyelidik, inovator dan usahawan menguji produk dan perkhidmatan, dan seterusnya membawa produk ke pasaran.



Platform ini akan dipasarkan ke seluruh universiti awam dan swasta di seluruh negara bagi membolehkan graduan-graduan mereka mencapai maklumat ijazah mereka dengan pantas dan efisien.

Dalam perancangan di masa hadapan, aplikasi ini dirancang untuk diperluaskan bagi pengesahan akreditasi sijil Diploma, SPM, STPM dan Tahfiz di seluruh negara.

Selain itu sistem e-skrol ini seterusnya akan dibangunkan di platform Hyperledger dan ditambah dengan pelbagai fungsi seperti paparan transkrip akademik, pentauliahan mikro (microcredential) dan tokenisasi.

Selain dari itu, aplikasi ini juga akan menjadi satu aplikasi yang mampu berkomunikasi dengan pelbagai jenis platform rantaian blok. Ini bagi mencapai matlamat untuk bergerak ke arah platform blok rantaian bersekutu (Federated Blockchain).

Hadir sama pada majlis ini ialah Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, pegawai-pegawai kanan Universiti dan wakil dari Kementerian.

No comments :