Monday, July 7, 2025

Nestlé Malaysia Ganding Bahu dengan UiTM, APU & MUST untuk tingkatkan kemahiran digital dan kebolehpasaran graduan muda

Hi Semua,

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memperkasakan belia dan membangunkan bakat, Nestlé Malaysia telah memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), dan Malaysia University of Science and Technology (MUST). Kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan amali tersusun dalam bidang Pembuatan dan Rantaian Bekalan di Nestlé Malaysia, lantas meningkatkan kemahiran digital dan pengalaman bekerja, yang seterusnya melengkapkan mereka untuk berkembang maju dalam dunia kerjaya yang semakin dinamik dan digital.


Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program “Nestlé Needs Youth” dan juga menyokong keutamaan untuk membangunkan bakat negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, inisiatif Penambahbaikan TVET, Strategi Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 dan Rangka Kerja Ekonomi Madani. Dengan penekanan kukuh terhadap transformasi digital dan inovasi, kerjasama ini bertujuan melahirkan graduan yang sedia untuk menyahut cabaran masa depan, yang boleh memberikan sumbangan bermakna kepada pertumbuhan Malaysia. Inisiatif ini melengkapi beberapa inisiatif “Nestlé Needs Youth” sedia ada lain di Malaysia, yang dilaksanakan menerusi pengambilan pekerja secara langsung, latihan amali atau program keusahawanan yang menyokong beribu-ribu anak muda Malaysia setiap tahun.

Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, berkata, “Selaras dengan usaha Malaysia membina ekonomi yang terangkum dan maju dari segi digital, kita perlu memastikan bahawa bakat muda kita dilengkapi dengan keupayaan teknikal dan kemahiran digital untuk menempa kejayaan. Sebagai sebahagian daripada program berterusan “Nestlé Needs Youth”, kami sukacita untuk berganding bahu dengan institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia yang terkemuka untuk memperkasakan graduan baharu atau bakal graduan dengan kelengkapan, pengalaman dan ketetapan minda yang sewajarnya untuk meningkat naik dalam dunia kerjaya profesional.

YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), berkata, “Kerjasama strategik antara Nestlé dan institusi akademik ini merupakan contoh terbaik bagaimana jalinan antara pendidikan dan industri dapat diperkukuhkan. Melalui penyediaan pengalaman serta pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar, kita dapat melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan. Di MPC, kami percaya bahawa produktiviti bermula dengan modal insan – dan inisiatif bersama seperti ini memainkan peranan penting dalam membina bakat, mempercepatkan proses pembelajaran, serta memperkukuh daya saing ekonomi negara secara berterusan.”

Pelajar boleh memanfaatkan peluang menyertai latihan amali dalam fungsi-fungsi perniagaan Nestlé, termasuk rantaian bekalan, kejuruteraan, kelestarian, pendigitalan dan jaminan kualiti. Penempatan kerja ini akan memberikan pendedahan dunia sebenar, melengkapkan pelajar dengan pengalaman praktikal dan kefahaman lebih mendalam tentang jangkaan industri. Kumpulan awal 10 pelajar telah dikenal pasti, dan sehingga 100 pelajar dijangka mengambil bahagian dalam fasa pertama program sepanjang tempoh 6 bulan akan datang.

Program ini memperkenalkan pelajar kepada alat digital dan teknologi canggih, serta juga usaha menggabungkan kelestarian di dalam proses operasi. Matlamatnya adalah untuk memupuk pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah dan kemahiran digital, ciri-ciri penting bagi mencapai kejayaan dalam dunia kerjaya moden.

Pelajar seterusnya diberi sokongan menerusi proses pembangunan bakat komprehensif yang termasuk bimbingan daripada profesional Nestlé, ceramah jemputan oleh para pemimpin industri dan juga laluan kesediaan kerjaya. Sebuah sistem maklum balas dan penilaian prestasi akan memberikan panduan berkala, di samping membolehkan Nestlé mengenal pasti calon-calon berprestasi terbaik untuk menyediakan peluang prapekerjaan.

Sambil Nestlé Malaysia terus meluaskan program “Nestlé Needs Youth,” kerjasama ini menekankan lagi peranan Syarikat sebagai penggalak yang membuka peluang pekerjaan bermakna. Dengan memenuhi aspirasi negara dan bekerjasama rapat dengan institusi akademik tempatan utama, Nestlé bertekad untuk membantu membina tenaga kerja Malaysia yang berwibawa dan dilengkapi dengan nilai dan visi untuk membina masa depan yang lebih baik.

Majlis tandatangan tersebut telah dihadiri oleh YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Prof. Ts. Shafinar binti Ismail, Dekan, UiTM; Profesor Dr. Ho Chin Kuan, Naib Canselor APU; dan En. Thiagarajan Marappan, Pensyarah Kanan MUST. Turut hadir ialah wakil-wakil lain daripada universiti dan anggota pasukan kepimpinan Nestlé Malaysia.


Saturday, July 5, 2025

Nestlé Koko Krunch dan MYDIN Hidupkan Suasana Ceria dan Kreatif untuk Keluarga dan Masyarakat di Subang Jaya

Hi Semua,

Sebagai tanda komitmen bersama dalam membantu komuniti, Nestlé Koko Krunch dan MYDIN telah menganjurkan pertandingan mewarna istimewa di MYDIN USJ, dengan menyambut kehadiran kanak-kanak dari Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.


Program ini adalah sebahagian daripada kempen “Kita Bawa Sarapan yang Bermakna” yang merealisasikan hasrat Nestlé Koko Krunch untuk membantu pertumbuhan kanak-kanak melalui pemakanan seimbang dan pengalaman positif.

Encik Philip Joe, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestlé Cereal Partners Worldwide (CPW) Malaysia & Singapura berkata, “Di Nestlé, kami percaya bahawa permulaan hari yang positif bukan sekadar bersarapan – ia juga tentang menyebarkan kebaikan kepada orang di sekeliling kita. Kami amat berbesar hati dapat meluangkan masa bersama anak-anak di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, dan bersyukur atas peluang untuk berkongsi detik-detik yang menggembirakan bersama mereka. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membawa sedikit keselesaan dan sokongan kepada mereka. Inisiatif ini, yang dijalankan bersama MYDIN, mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mencipta nilai bersama dan memberi semula kepada komuniti yang kami sokong.”

Bagi terus menyokong keperluan harian dan kebajikan anak-anak di rumah tersebut, Nestlé Koko Krunch telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada mereka. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Puan Michelle Ng Mei Sze, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, yang turut meluangkan masa bersama kanak-kanak sepanjang aktiviti yang berlangsung pada pagi itu.

Datuk Wira Ameer Ali, Pengarah Urusan MYDIN turut berkongsi, “Sebagai peruncit yang berbangga dengan akar umbi Malaysia, kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada kempen yang menyatukan keluarga dan masyarakat dengan cara yang bermakna. Inisiatif ini adalah peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas mampu memberi kesan yang besar, khususnya apabila kita berganding bahu menyokong mereka yang memerlukan di sekeliling kita.”

Selepas sesi bersama anak-anak di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah pada sebelah pagi, program diteruskan dengan pertandingan mewarna yang dibuka kepada orang ramai di MYDIN USJ. Pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan, termasuk permainan, aktiviti seni pasir, serta gerai percubaan produk, mewujudkan suasana meriah dan penuh keceriaan untuk semua pengunjung.



Program ini juga merupakan sebahagian daripada Pertandingan Mewarna Koko Kraf Club yang sedang berlangsung di cawangan runcit seluruh negara, dengan tujuan menggalakkan kanak-kanak mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni. Sebagai sebahagian daripada kempen ini, sebahagian hasil jualan bijirin sarapan Nestlé di semua cawangan MYDIN seluruh negara telah disalurkan untuk menyokong Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.

Koko Kraf Club mencerminkan komitmen berterusan Nestlé Koko Krunch dalam memperkasakan golongan muda melalui seni dan kraftangan, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Tahun ini, Koko Kraf Club turut mengetuai penganjuran pertandingan kolaj yang melibatkan sekolah rendah di seluruh negara.


Wednesday, July 2, 2025

Pameran Food & Drinks Malaysia Anjuran SIAL Network 2025 (FDM 2025) Memacu Inovasi & Hubungan Global Makanan Asia Tenggara

Hi Semua,

Food & Drinks Malaysia oleh SIAL 2025 (FDM 2025) mengesahkan semula peranannya sebagai platform utama Asia Tenggara untuk inovasi industri makanan, perkongsian strategik dan penyelesaian yang bersedia untuk masa hadapan. 


Acara yang dianjurkan oleh Comexposium sebagai sebahagian daripada SIAL (Salon International de l'Alimentation) Network yang diiktiraf di peringkat global, edisi tahun ini mencerminkan bagaimana Malaysia sedang bertindak pantas untuk menjadi nod utama dalam ekosistem makanan peringkat global.


Diadakan sepanjang tiga hari yang padat di MITEC Kuala Lumpur, FDM 2025 menghimpunkan para pemimpin industri yang berpengaruh — daripada jenama antarabangsa dan pengedar serantau kepada penggubal dasar, inovator dan usahawan dan semuanya berkumpul untuk membentuk masa depan industri pemakanan. Dirasmikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan & Komoditi, acara ini menandakan usaha awam-swasta untuk mengukuhkan kepentingan Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global dan sektor teknologi pertanian. Beliau diiringi oleh YB Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan.


“Food & Drinks Malaysia oleh SIAL bukan sekadar pameran perdagangan, ia adalah pemangkin kepada kemajuan, memperkasakan perniagaan untuk perkembangan, membolehkan idea merentasi sempadan dan mempercepatkan inovasi merentasi keseluruhan rantaian nilai sektor makanan,” kata Henri Tan, Pengarah Pameran, Asia Tenggara, Comexposium APAC.

“Kami amat teruja untuk memperkenalkan Pameran Coklat yang pertama di Malaysia yang disusun atas kerjasama dengan Salon du Chocolat. Malaysia memiliki warisan yang kaya dengan peladangan koko dan pasaran domestik yang semakin berkembang dengan para pengguna sofistikated yang berminat dengan produk coklat yang inovatif. Pameran ini meraikan seni pembuatan dan inovasi koko, menawarkan platform untuk mempamerkan bakat tempatan dan berhubung dengan trend global. Sambutan warisan koko Malaysia yang kaya ini hanyalah satu contoh bagaimana FDM 2025 menonjolkan pengaruh negara yang semakin meningkat dalam inovasi makanan — momentum yang dibuktikan lagi dengan adanya penyertaan yang mengagumkan dalam Anugerah Inovasi SIAL,” tambah beliau lagi.

Disokong oleh ekonomi eksport yang kukuh, sektor koko Malaysia mencatat nilai eksport sebanyak RM15 bilion pada tahun 2024, dengan produk coklat yang menyumbang 12.7% daripada jumlah pendapatan eksport — menjadikannya salah satu komoditi utama dalam pertumbuhan dan inovasi negara.


Memacu Inovasi dari Malaysia ke Persada Dunia


Anugerah Inovasi SIAL diperkenalkan di Malaysia dengan 144 penyertaan tempatan dan antarabangsa serta pengiktirafan global.

“SIAL menyatukan penggiat industri makanan dunia yang memiliki pemikiran yang paling jauh ke hadapan melalui Anugerah Inovasi SIAL pada setiap edisi -- platform yang meraikan idea dan produk berani yang membentuk landskap makanan untuk hari esok. Kami berbangga melihat Malaysia memajukan ekosistem makanan di rantau ini,” kata Nicolas Trentesaux, Pengarah Urusan, SIAL Network.


Anugerah yang diadakan sempena FDM 2025 ini menerima sebanyak 144 penyertaan daripada jenama Malaysia dan antarabangsa. Sebelas finalis telah dipilih oleh panel juri tempatan dan antarabangsa, dengan tiga pemenang diumumkan semasa Majlis Pembukaan Rasmi.

Tiga Pemenang Utama adalah (mengikut urutan):


· Anugerah Emas 
Symphony Spread Black Sesame Spread 
Pengeluar: Symphony Confection Sdn Bhd
Negara: Malaysia



· Anugerah Perak
MusaWa Puffs 
Pengeluar: Musarium Co. Ltd 
Negara: Thailand



· Anugerah Gangsa
Mi Segar Barli (Barley Fresh Noodle) 
Pengeluar: Kosmode Health Singapore Pte Ltd
Negara: Singapura


Pandangan para Juri tentang Anugerah Inovasi SIAL yang Pertama di Malaysia

“Apa yang paling menarik perhatian saya ialah produk-produk ini bukan sahaja berani dan asli tetapi juga berdaya maju secara komersial dan sedia untuk berkembang. Penyertaan teratas dengan jelasnya memahami para pengguna mereka dengan menawarkan inovasi yang sesuai berdasarkan keperluan pasaran sebenar. Ini menandakan peralihan yang bermakna bagi Malaysia, daripada pembuatan kepada penerajui inovasi makanan,” kata Low Ngai Yuen, Ketua Pegawai Dagangan & Pemasaran Kumpulan, AEON Co Malaysia Berhad

“Tahap inovasi yang ditunjukkan sangat memberangsangkan. Para peserta tempatan ini membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing di pentas dunia, dengan produk yang menggabungkan fungsi, warisan dan sedia untuk masa hadapan. Anugerah ini merupakan gambaran yang kukuh tentang sejauh mana ekosistem inovasi industri makanan tempatan kami telah maju dan menetapkan arah yang seterusnya selepas ini,” kata Melissa Ong, Ketua Pegawai Kumpulan Impact Circle.

Pertimbangan para juri yang terdiri daripada 11 orang ahli kesemuanya telah diadakan secara langsung. Sebagai tambahan kepada Henri Tan dan Nicolas Trentesaux, ahli juri dari Malaysia termasuk:

· Profesor Dr Muhammad Shahrim Abdul Karim, Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

· Encik Timothy Liew, Pengerusi,Peruncitan & Makanan dan Minuman, SAMENTA (Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana); dan

· Encik Mark Law, Naib Presiden, Malaysia Business Group.

Para hakim dari Paris, Perancis termasuklah:

· Xavier Terlet dan Emeline Fordos, Pakar Inovasi dari ProtéinesXTC ; dan

· Jean-Gabriel Mollard, Pengarah Komunikasi, dan Nathalie Perraudin, Pengarah Projek Antarabangsa, SIAL Network.


Penglibatan Berfokuskan Industri Mengutamakan Idea


FDM 2025 telah menyediakan program menyeluruh menerusi forum berimpak tinggi, pertandingan dan aktiviti rangkaian yang disesuaikan untuk industri F&B yang sedang berkembang pesat hari ini:



· Pameran Coklat yang Pertama di Malaysia
Disusun dengan kerjasama Salon du Chocolat; pameran menyediakan sampel hidangan di Chocolate & Coffee Gourmet Bar oleh Universiti Sunway.

· Forum Halal FDM ke-2
Menyentuh secara mendalam tentang pensijilan halal, strategi eksport, penjenamaan serta inovasi teknologi dalam ekonomi halal. Forum menampilkan para penceramah yang terdiri daripada pihak berkuasa, badan industri dan pengimport global di sektor industri halal

· Future Food & Agriculture oleh Impact Circle
Menitikberatkan isu kemampanan menerusi panel dan pameran mengenai teknologi pertanian, pertanian pintar iklim dan cabaran keterjaminan makanan yang membentuk untuk dekad seterusnya di rantau ini.


· Global Culinary Challenge Malaysia (GCCM) ke-4
Mempamerkan kemahiran dan kreativiti yang hebat , dengan melebihi 600 chef dari 31 negara yang bersaing merentas pelbagai kategori termasuk Inovasi Minyak Sawit, Barista, Koko dan Kek yang dinilai oleh para pakar antarabangsa.

· The Spark oleh Impact Circle @ FDM 2025
Platform Pitching dan anugerah dinamik yang menonjolkan idea berani dan penyelesaian terbaik yang membentuk masa depan industri makanan dan pertanian.

· Memperkenalkan Bahagian Minuman Tidak Halal
Mempamerkan jenama global ikonik seperti Moutai dan Baijiu.

· Anugerah Thai SELECT
Menghargai kecemerlangan F&B Thai di Malaysia.

· Program Pembeli Jemputan dan Portal Eksklusif BizMatch 
FDM 2024 telah menghubungkan 160 pengimport dan pembeli terkemuka, menjana potensi perniagaan melebihi USD 164 juta. Program ini kembali pada tahun ini dengan keupayaan pemadanan yang dipertingkatkan, menawarkan sesi pertemuan satu dengan satu yang lebih fokus di mana mengubah perbincangan menjadi kejayaan komersial.

· Pavilion Antarabangsa dan Tempatan
Menampilkan penyertaan pempamer dari Kanada, China, India, Malaysia, Poland, Korea Selatan, Thailand, Türkiye, Amerika Syarikat dan banyak lagi.









Edisi ketiga Food & Drinks Malaysia oleh SIAL 2025 dengan bangganya disokong oleh rakan kongsi strategik dan penaja termasuk Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Malaysia Airlines dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) — semuanya bersatu dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk inovasi dan perdagangan makanan. 

Sebagai rakan kongsi utama, sokongan MyCEB mencerminkan komitmennya untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk acara perniagaan berimpak tinggi dan pertumbuhan industri.

MITEC Kuala Lumpur ialah Penaja Lokasi Rasmi untuk GCCM ke-4