Monday, November 6, 2017

The Music Run 2017, Seronok Berlari Sambil Menari

Hi Korang,



Setelah berbulan-bulan menunggu, akak lily rasa teruja sangat nak ke The Music Run 2017 anjuran AIA ni. Yelah bila tengok promonya kemain hebat lagi. Masa pi amik racekit hari tuh dengan Mr Big dah rasa seronok sangat sebab accesoriesnya memang cool habis, ada shades, hairband, layard, tshirt dan memacam lah.

So sabtu lepas, pergilah kami berdua berlari.


Dah lama tak lari dengan Mr Big, selalunya aku pi sengsorang je tak pun dengan bebudak blogger yang lain kan. Sampai KL Sports City tuh kemain riuh lagi dah, once kitaorang dapat parking terus je berjalan masuk ke The Music Village. Ya ampun jauh bebenau nak masuknya, bayangkan dari parking C kami berjalan sampai ke LRT station Bukit Jalil then naik balik masuk ke pintu stadium.


Masa kitorang sampai depan pintu stadium tuh, 10km runners dah mula berlari pun huahauhauahua.


Sebelum masuk pintu besar tuh, kami akan di scan pada gelang RIFD yang diberikan masa ambil race kit hari tuh, diorang dah pesan jangan hilangkan gelang tuh. Ok pakai gelang then terus dapat masuk, sebab tuh jem kat depan pintu ni, sebab gelang ni hah punye citer.


Di sebabkan event ni cashless, lepas dapat masuk akak lily terus beratur the booth TOP UP Station untuk top up duit belanja yelah mana tahu nak beli makan-makan ke, merchandise ke, minum-minum kan, bawak Mr Big ni macam bawak budak kecik dia suka explore menda-menda yang tak pernah dia tengok then beli itulah suamiku si abang banker tuh lah.


Bila masuk ke dalam stadium tuh dah rasa cam pi clubbing plak hahahaha


Music in everywhere dam dum dam dum kemain kuatnya dengan sampai nak bercakap pun kene menjerit hahahaha so kitaorang pun merayaplah dari satu booth ke booth. Macam-macam booth ada seperti booth makanan minuman, booth sponsors macam The Face Shop, Tiger Balm dan booth yang best sekali akak lily singgah adalah booth AIA sebab macam-macam ada kat situ tau.




Kat Booth AIA ni selain daripada dapat bersenam dan menari di X-Box section tuh, sempat jugak akak lily lakukan simple checkup alah setakat check blood pressure dan BMI je dan keputusan sudah pun di jangka akak tekanan darah ok dan akak lily obsess hauhauahua nangis tepi bucu meja hari tu tau.

Masa yang di tunggu telah pun tiba yeahh


Panggilan untuk 5km runners, kitaorang keluar yang last-last sekali sebab ramai benau orang tau, even larian dah start 15 minit pun still lorong starting point tuh ramai lagi orang, lepas 30 minit cam tuh barulah kami berdua berlari. Alah bukan lari pun, berjalan je slow-slow cam strolling gituh. Bukan nak menang pun, sekadar bersenam je kan.




Selain daripada youngsters, warga emas, yang bawak family pun berlari jugak, siap dengan stroller lagi tau.Itu yang menambah semangat kitaorang nak berlari lagi. Walaupun 5km je tapi letihnya kemain oi, rasa nak tercabut kaki padahal pusing stadium Bukit Jalil ni je hah hahahaha..


Bila nak finishing line rasa lega bukan main lagi, rasa menyesal pun ada jugak masuk larian cam ni tapi demi untuk kesihatan akak lily teruskan jugak, eh motivasi semua tuh tau.


Yeah berjaya dapat medal sorang satu, ermm jadilah. Yang penting happy, dapat bersenam, dapat bersama love one, dapat berlari dengan kengkawan yang lain itu lagi best kan.


Habis berlari The Music Village tuh memang macam tempat clubbing sungguh lah, dengan orang menari, borak-borak, makan-makan bagai kan. Kitaorang pusing sekali lagi round untuk beli makan then kemudiannya balik sebab lari dah penat.. ermm dasar pemalas pompuan gemuk hehehhe

Anyway The Music Run 2017 sememangnya menarik hati kak lily, rasa-rasanya kalau tahun depan ada lagi haruslah akak lily menjoinkan diri lagi










Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com

Sunday, November 5, 2017

Undian JJCM Makan Awards Kini Bermula!

Hi Korang,

Aplikasi Jalan Jalan Cari Makan memperkenalkan “JJCM Makan Awards” buat julung-julung kalinya. Penganjuran anugerah ini bertujuan memberi peluang buat rakyat Malaysia khususnya komuniti peminat makanan alam maya mengiktiraf tempat makan kegemaran mereka di sekitar Lembah Klang. Sebanyak 7 kategori diwujudkan merangkumi 8 menu kegemaran rakyat Malaysia sepanjang zaman. Mengangkat elemen popular dan terbaik dalam menentukan pemenang, JJCM Makan Awards menggunakan format pemarkahan 50 % undian rakyat Malaysia dan 50 % lagi penjurian profesional yang terdiri daripada figura tersohor dunia kulinari tempatan yang akan diumumkan tidak lama lagi.


Pencalonan awal menyaksikan beberapa lokasi disenarai pendek hasil daripada cadangan pengguna aplikasi Jalan Jalan Cari Makan. 7 kategori tersebut adalah Nasi Lemak Popular, Rojak Popular, Kuey Teow Basah Popular, Sate Popular, Cendol & Rojak Popular, Ikan Bakar Popular dan Burger Kaki Lima Popular. Pengundian akan mula dibuka hari ini , 1 November dan berakhir pada 24 November 2017 menerusi laman sesawang www.jalanjalancarimakan.com.my. Korang boleh mengundi restoran kegemaran korang sebanyak 10 kali undian sehari, bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

“Makanan dan rakyat Malaysia berpisah tiada dan kerana itulah kami di Media Prima Digital menganjurkan JJCM Makan Awards ini di mana kami mahu memberi peluang penggemar dunia gastronomi tempatan menentukan lokasi kegemaran mereka. Selain itu, tidak boleh dinafikan program Jalan Jalan Cari Makan telah menjadi sebahagian daripada pengaruh besar komuniti peminat makanan tanahair dan sudah tiba masanya kami berkongsi minat dan keghairahan pengembaraan makanan kami bersama rakyat Malaysia”, jelas Li Ee Kee, pengurus produk aplikasi JJCM.

Pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang trofi eksklusif JJCM Makan Awards dan hadiah wang tunai. Pemenang akan diumumkan dalam satu majlis kemuncak pada bulan Disember nanti. Rancangan Jalan Jalan Cari Makan yang telah pun bersiaran lebih 16 tahun itu kini dikendalikan Nazrudin Habibur Rahman atau lebih mesra dikenali sebagai Abg Naz. Sepanjang penyiarannya, antara nama personaliti yang pernah menduduki kerusi pengacara rancangan itu adalah Maria Tunku Sabri, Iqram Dinzly, Serina Redzuwan, Shiha Zikir, Iqbal Mazlan dan Qi Razali.

Aplikasi JJCM yang telah pun mula menemui pengguna akhir tahun 2015 dan sehingga kini, ia mencatat lebih 250 ribu muat turun. Setiap pengguna yang mendaftar akaun mereka di aplikasi ini boleh memuat naik sebarang komen dan cadangan mengenai tempat makan yang mereka kunjungi. Daripada pencinta makanan, untuk pencinta makanan. Mengambil kira konsep inilah maka aplikasi JJCM mewujudkan ruangan komen dan cadangan ini bagi membawakan interaksi antara pengguna selain membolehkan pengguna lain melihat apakah ulasan pengguna lain mengenai sesuatu tempat makan tersebut.

Fungsi carian berdekatan pula membolehkan pengguna melihat senarai restoran yang berhampiran dengan kedudukan GPS mereka. Seperti contohnya, sekiranya mereka berada di Damansara, fungsi ini akan memaparkan senarai tempat makan pilihan JJCM yang berada dalam radius Damansara. 

Aplikasi JJCM juga tidak terhad kepada tempat makan yang dikunjungi produksi rancangan Jalan Jalan Cari Makan sahaja. Pasukan editorial aplikasi JJCM juga pergi ke tempat-tempat makan lain yang dicadangkan orang ramai. Menerusi paparan artikel-artikel menarik di ruangan editorial, pengguna aplikasi JJCM boleh mendapatkan lebih informasi mengenai restoran-restoran lain juga senarai artikel yang merangkumi pelbagai jenis dan topik berkaitan makanan. Pasukan editorial JJCM juga akan ke seluruh negara bagi mencari makanan-makanan unik dan menarik untuk dicadangkan kepada pengguna apllikasi JJCM. Buat julung-julung kalinya, sebuah program kembara makanan aplikasi JJCM telah pun diadakan di negeri Terengganu April lalu di mana pasukan editorial aplikasi JJCM bersama beberapa rakan media dan bloggers terplih menjelajah ke serata Terengganu bagi mencuba pelbagai jenis hidangan moden serta tradisional menarik di negeri pantai timur itu.


Senarai Pencalonan JJCM Makan Awards 2017


NASI LEMAK POPULAR

a. Nasi Lemak Bumbung
Jalan 21/11B, Sea Park, 46300 Petaling Jaya, Selangor

b. Village Park
No. 5, Jalan SS 21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor

c. Nasi Lemak Tanglin
Gerai No 6, Kompleks Makan Tanglin, Jalan Cendrasari, 50480 Kuala Lumpur

d. Nasi Lemak Antarabangsa
No. 4 Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur

e. Nasi Lemak Royale ‘Kedah’
Lot 8500, Jalan Ampang Putra, Kampung Pandan Dalam, 55100 Kuala Lumpur

BURGER KAKI LIMA POPULAR

a. Brader John Burger
Depan RHB Damansara Uptown, Jalan SS21/58, 47400 Petaling Jaya, Selangor

b. Om Burger
Depan 7-11, Lorong Kolam Air Lama 1, Ukay Heights, 68000 Ampang, Selangor

c. Yazid Burger
Lot 4, Medan Selera Anjung, Jalan Tungsten 7/23, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

d. Tajima Burger Bangi
Lot Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, 43000 Bangi, Selangor

e. The Burger Shop
Jalan SS 15/8, SS 15, 47500 Subang Jaya, Selangor

IKAN BAKAR POPULAR

a. Sambal Hijau
Lot 2990, Kampung Sungai Penchala, Jalan Damansara, 60000 Kuala Lumpur

b. Kak Jat Ikan Bakar @ Medan Ikan Bakar Jalan Bellamy
Lorong Bellamy, Bukit Petaling, 50460 Brickfields, Kuala Lumpur

c. Ikan Bakar Pak Din @ Medan Selera Tanglin
Bersebelahan Klinik Kesihatan Jalan Tanglin, Medan Selera Tanglin, 50646 Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur

d. Restoran Ikan Bakar FEND
Lot H-G-05, Jalan SS6/16A Dataran Glomac Kelana Jaya, SS 6, 47301 Petaling Jaya, Selangor

NASI KANDAR POPULAR

a. Zainul Nasi Kandar
Gerai No. 90, Lorong Sultan, Seksyen 52, 46200 Petaling Jaya, Selangor

b. Mohd Yaseem Nasi Kandar
No. 351 & 353, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur

c. Restoran Kudu Bin Abdul
No. 335, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur

d. Suberi Nasi Kandar
No. 50, Bengkel IKS, Keramat AU3/1, 54200 Kuala Lumpur

e. Restoran Ibramsha  Nasi Kandar
No. 68, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur

KOAY TEOW BASAH POPULAR

a. Mali's Corner
No. 9-1, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Danau Kota, 53300 Kuala Lumpur

b. Mamu Penang Char Kuey Teow
Perkarangan Masjid Al-Mustaqim, Persiaran Putra, Laman Putra Sulaiman, 68000 Ampang, Selangor

c. Mie Cord Char Kway Teow
Lot 2995, Kg Sungai Penchala, Jalan Damansara, 60000 Kuala Lumpur

d. Sany Char Kuey Teow
Gerai 1A, Jalan Berserah, Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur

CENDOL POPULAR

a. Cendol SS 15 Subang
Jalan SS 15/3B, 47500 Subang Jaya, Selangor

b. Rojak & Cendol Din
Depan stesen petrol Petronas, Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur

c. Cendol Bakar Kuala Selangor
Lot 1195-1196, Batu 1, Kampung Assam Jawa, Jalan Bukit Rotan, 47000 Kuala Selangor, Selangor

d. Rojak & Cendol Shah Alam
Medan Selera Delima Seksyen 24, 40300 Shah Alam, Selangor

e. Cendol Pulut/Tapai Laksa Utara
Berdekatan Unisel, Seksyen 7, Shah Alam

Satay Popular

a. Sate Kajang Hj Samuri
Lot 1, 2 & 3, Ground Floor & 2nd Floor, Bangunan Dato’ Nazir, Jalan Kelab, 43000 Kajang, Selangor

b. Willy Satay
Ramal Food Junction, Jalan Sungai Ramal, 43000 Kajang, Selangor

c. Satay Zainah Ismail
Lot 1077, Lorong Kiri 20, Kampung Datuk Keramat, 54000 Kuala Lumpur

d. Hj Senen Satay
Restoran O Mulia, 300-1 Jalan Tun Razak, 54200 Kuala Lumpur

e. Zaini Satay
Jalan Kolam Air Lama, 68000 Ampang Jaya, Kuala Lumpur

Rojak Popular

a. Rojak & Cendol Din
Depan stesen petrol Petronas, Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur

b. Rojak SS 15
Jalan SS 15/3B, 47500 Subang Jaya, Selangor

c. Rojak Bellamy
Pernama PN 090, Jalan Bellamy, 50450 Kuala Lumpur

d. Sulaiman’s Famous Cendol & Rojak
Sebelah MSS Maju Restaurant (belakang Market Hall), Off Jalan Pudu, 55100 Kuala Lumpur


Aplikasi JJCM boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store bagi pengguna iOS manakala pengguna Android pula di Play Store.








Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com

Saturday, November 4, 2017

Filem TV Wanita Terindah 'Simple But Deep'

Hi Korang,

Bagi peminat Fattah Amin dan Fazura meh baca citer akak lily ni

Menyusuli kejayaan lagu ‘Wanita Terakhir’ ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan yang dipersembahkan sebagai single pertamanya pada bulan Januari 2017, bintang paling popular hari ini, Fattah Amin, mengorak selangkah lagi dengan mengangkat karya tersebut untuk menjadi sebuah novel indah. Diilhamkan daripada lagu ‘Wanita Terakhir’, novel tulisan penulis terkenal, Ezza Mysara yang dilancarkan pada bulan April 2017 di ‘Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017’ lalu habis terjual bak pisang panas. Lebih manis lagi apabila penulisan pertama Fattah Amin, ‘#99katakataFattahAmin #QalifModen’ turut dinobatkan sebagai ‘Buku Paling Popular’ di pesta buku tersebut.

Fattah dan Fazura sebagai tonggak utama Wanita Terindah

Kini, pelakon berbakat besar yang baru sahaja menginjak ke usia 27 tahun pada September lalu kembali dengan sebuah lagi edisi hebat, menerusi filem televisyen (FTV) sulungnya yang berjudul ‘Wanita Terindah’. FTV yang diadaptasikan dari novel ‘Wanita Terakhir’ ini merupakan sebuah kerjasama di antara Astro First Eksklusif, penerbitan Red Films Sdn. Bhd. dan pengurusan Fattah Amin, FastyleAsia.

‘Wanita Terindah’ diarahkan oleh Joon Goh, sutradara yang pernah mendapat pengiktirafan di majlis-majlis penganugerahan berprestij di peringkat antarabangsa seperti di ‘John Bradbury Awards 2011’. Karya beliau turut menerima pencalonan akhir setanding naskhah hebat antarabangsa yang lain seperti di ‘Soho Shorts Festival’ dan ‘London Short Film Festival’. Manakala pelakon, pengacara dan penulis skrip yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air, Rafidah Abdullah sekali lagi menyarung jersi ‘Penulis Skrip’ untuk FTV ini. Dikenali sebagai seorang penulis skrip yang melakar karya dengan pendekatan ‘luar dari kotak’ atau ‘out of the box’, skrip yang beliau zahirkan sering dilihat kreatif dan bersifat ‘urban’ dan ‘trendy’. Karya-karya popular beliau termasuklah ‘Gol & Gincu’, ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’, ‘Pisau Cukur’ dan ‘Istanbul Aku Datang’. 

‘Wanita Terindah’ turut menyaksikan gandingan sulung Fattah Amin dengan pelakon wanita tersohor negara, Nur Fazura, dalam sebuah naskhah berbentuk FTV. Jika sebelum ini mereka telah mencetuskan fenomena apabila digandingkan sebagai pasangan kekasih dalam siri drama popular, ‘Hero Seorang Cinderella’, tidak mustahil jika kolaborasi ini sekali lagi bakal menggegarkan pentas hiburan tanah air. 

Pelakon Wanita Terindah bersama barisan produksi dan wakil Astro

FTV ini berkisar mengenai Fahim Aiman (lakonan Fattah Amin), seorang jurugambar di sebuah syarikat penerbitan akhbar yang memiliki perwatakan yang panas baran, kurang penyabar dan degil. Namun begitu, beliau yang merupakan seorang anak tunggal begitu akrab dan menyayangi ibunya (Puan Zahra), lakonan Liza Othman, sehingga menamakan wanita itu ‘Wanita Terakhir’-nya dan tiada wanita lain yang mungkin mampu menandingi ibunya. Mungkin kerana begitu menghargai pengorbanan ibunya selama ini yang membesarkan beliau secara bersendirian, Fahim begitu terkesan apabila ibunya membawa pulang seorang anak istimewa dari pusat jagaan “ANGSANAcare” yang mana ibunya berkhidmat sebagai seorang sukarelawan. Fahim tidak dapat menerima kehadiran Fikri (lakonan Nik Adam Mika) dan mula memberontak di awal kemunculan anak ini di rumahnya. Tambah merumitkan keadaan apabila Fikri merupakan seorang pesakit leukemia (kanser darah) dan memerlukan rawatan yang kerap, dengan kos yang tinggi. 

Namun begitu, rakan sekerja Fahim yang juga merupakan seorang wartawan, Nuryn Nafeesa (lakonan Nur Fazura) berjaya mengubah persepsi Fahim akan Fikri dan beliau kemudiannya mula menerima anak kecil ini. Namun begitu, tatkala mereka mula meniti kebahagiaan sebagai sebuah keluarga, kecelakaan tiba-tiba menimpa keluarga ini dan Fahim kehilangan seorang insan tersayang. Ibunya telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalanraya dan beliau tidak dapat diselamatkan. 

Dalam pada itu, Nuryn pula terpaksa memaklumkan kepada Fahim pesanan ibunya sebelum menghembuskan nafas akhir. Ibunya berpesan agar Fahim menjaga Fikri kerana anak kecil itu merupakan adik kandung beliau sendiri. Lebih mengeruhkan keadaan apabila Fahim kini mengetahui bahawa bapanya yang selama ini diingatkan sudah tiada masih lagi hidup dan turut merupakan bapa kandung kepada Fikri. Namun begitu, Fikri ‘dibuang’ oleh bapanya kerana dianggap membebankan. 

Nur Fazura sebagai Nuryn dan Fattah Amin sebagai Fahim di Malam Gala Wanita Terindah

Bagaimanakah Fahim menerima semua ketentuan ini? Adakah beliau semakin memberontak sehingga melukakan hati mereka yang selama ini sentiasa berada di sisinya? Atau beliau redha dan menerima ini sebagai satu ujian dari Yang Maha Esa? 

Ditanya mengenai produk terbaru Astro First Eksklusif ini, Ketua Saluran Astro First & Astro Best, Sharmin Parameswaran berkata, “Secara peribadi, saya amat teruja dengan edisi terbaharu yang bakal disiarkan di platform Astro First Eksklusif ini. Saya lihat, ‘Wanita Terindah’ ini memiliki kekuatan di banyak sisi yang berbeza. Paling ketara adalah dari segi pemilihan pelakon yang ditampilkan. Gandingan Fattah Amin dan Nur Fazura adalah sangat sepadan dan keserasian yang tercetus di antara kedua-dua figura ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Diapit pula dengan kehadiran pelakon berpengalaman, Liza Othman yang memegang watak sebagai ibu ternyata berkesan dan babak-babak utama yang beliau jayakan begitu meruntun jiwa. Buat julung kalinya juga, kita memperkenalkan bakat cilik, adik Nik Adam Mika sebagai salah seorang pendukung watak utama dalam FTV ini dan percaturan kami ini ternyata membuahkan hasil. Adik Nik Adam Mika berjaya menterjemahkan wataknya sebagai pesakit leukemia dengan baik sekali. Pujian wajar diberikan kepada beliau dan juga barisan para pelakon ‘Wanita Terindah’ yang lain termasuklah Sarah Hildebrand, Ridzuan Hashim dan ramai lagi. 

Dari segi jalan penceritaan pula, ia bertepatan dengan objektif Astro First Eksklusif yang sentiasa ingin menampilkan kandungan yang penuh variasi dan mampu memenuhi citarasa penonton yang rata-ratanya terdiri dari pelbagai peringkat usia. FTV yang berlatar-belakangkan kisah kekeluargaan adalah salah satu genre pilihan utama kami kerana kami yakin, pendekatan seperti ini (dengan mengangkat filem-filem kekeluargaan), ia secara tidak langsung membantu memperkukuhkan institusi kekeluargaan kerana FTV yang ditayangkan di platform ini sesuai untuk ditonton bersama seisi keluarga. Saya pasti, penekanan yang diberikan akan kisah kasih seorang anak terhadap ibunya yang diangkat sebagai asas atau ‘base’ kepada FTV ini mampu mengingatkan kita semula akan pengorbanan ibu dalam membesarkan anak-anaknya. Ya, bak kata pelakon utama FTV ini beberapa kali di kala melontarkan dialognya, ‘Ibu adalah ‘Wanita Terakhir’ saya’ – satu kebenaran yang tidak mungkin boleh disangkal oleh sesiapa.”

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Red Communications dan Red Films, Lina Tan turut mengulas mengenai penglibatan sebuah badan NGO dalam menjayakan karya ini, “Wanita Terindah berlatar-belakangkan kisah keluarga yang terpaksa berhadapan dengan isu salah satu penyakit yang membawa maut, iaitu kanser. Saya bersyukur kerana menerusi sebuah badan bukan kerajaan atau NGO, “ANGSANAcare”, saya diberi peluang untuk bertemu dengan beberapa orang pesakit kanser dan mengetahui dengan lebih lanjut lagi bagaimana ahli keluarga mereka berhadapan dengan situasi ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif FastyleAsia, Fas Subari berkata, "Sebagai pihak pengurusan Fattah Amin, saya amat berbangga dengan corak kerjayanya yang semakin berkembang dan matang. Beliau tidak jemu memperbaiki diri sendiri dan juga berusaha untuk menjadi seorang artis yang terus berjaya.

Penghasilan filem ‘Wanita Terindah’ ini merupakan salah satu usaha kami dalam memperkukuhkan imej FastyleAsia sebagai salah sebuah syarikat pengurusan artis di Malaysia. Kami sentiasa berusaha untuk memberi dan membuka peluang untuk artis-artis kami untuk terus memperbaiki dan memperkuasakan kerjaya dan bakat mereka.

Saya percaya FTV ‘Wanita Terindah’ ini akan mula menjadi permulaan Fattah Amin untuk terus berkecimpung dalam dunia perfileman. Selain dari itu, kami amat tertarik untuk mengadaptasikan cerita ‘Wanita Terindah’ ini kerana jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan boleh diterima dan dihargai oleh semua orang tidak mengenal latar belakang.

Jangan lupa saksikan ‘Wanita Terindah’ di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 2 November 2017 (Khamis) ini. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian. ‘Wanita Terindah’ juga boleh didapati di platform digital, ‘on demand’.










Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com