Showing posts with label Rangkaian program ‘AF Megastar’. Show all posts
Showing posts with label Rangkaian program ‘AF Megastar’. Show all posts

Thursday, August 24, 2017

AF Megastar - Haruslah Tengok Untuk Jadi Topik Bualan Kan

Hi Korang,

Ni ada berita baik untuk penggemar rancangan realiti akademi Fantasia ye..

Alah kawan Akak Lily yang mintak tolong suruh kongsikan kat blog ni, so haruslah acik-acik geng bawang mesti suka tengok rancangan ni ek..

Ermm bukan tu je, mak akak Lily pun sama gak peminat no. 1 Pak Nil tuh...

Suka atau tidak, harus diakui bahawa pengaruh dan populariti kebangkitan program realiti khususnya jenama ‘Akademi Fantasia’ atau ‘AF’ sukar dinafikan. Dilihat sebagai permulaan segala-galanya dan cukup tepat untuk diangkat sebagai perintis kepada evolusi penerbitan program hiburan di negara ini, jenama AF masih kekal utuh di hati peminat seni tanah air walaupun sudah bersiaran selama 13 buah musim sebelum ini.


Bertitik tolak pada kemasyhuran ‘AF’ setelah sekian lama, Astro mengorak langkah menghimpunkan semula bintang-bintang program itu dalam edisi khas ‘AF Megastar’ untuk musim terbaharu yang bertujuan mengembalikan semula momen-momen manis yang pernah dilalui mereka suatu masa dahulu.

Mengulas lanjut tentang penerbitan edisi khas ini, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, “Bermula sebagai sebuah program pencarian bakat berkonsepkan program realiti yang menzahirkan impian dan keinginan anak muda untuk bergelar bintang, pengaruh jenama ‘AF’ terbukti berjaya mengubah senario industri hiburan tempatan setelah mencetuskan gelombang fenomena luar biasa apabila kali pertama ia diperkenalkan lebih sedekad yang lalu. 

Ketika musim pertama diterbitkan sekitar tahun 2003, tiada siapa pernah menyangka bahawa ia akan menjadi ledakan kuat dan meninggalkan impak luar biasa sehingga demamnya merebak ke seluruh negara sehingga hari ini.

Kembali membawa kuasa fantasi, penganjuran musim terbaharu dengan edisi khas yang pastinya lebih berprestij ini menyaksikan beberapa pembaharuan yang ditambah baik diperkenalkan untuk memastikan kandungan program ini kekal relevan dan sentiasa segar selari mengikut peredaran semasa sekaligus memberi pengalaman baru kepada peminat setia ‘AF’. Format asal juga dirombak kerana kesemua bintang bukan lagi penyanyi amatur tetapi sudah menempa nama dalam persada seni.

Untuk edisi khas ini, para bintang tidak lagi perlu dikuarantin dan dibantu daripada segi persiapan untuk persembahan mingguan. Sebaliknya, mereka diberi kebebasan penuh untuk berkarya secara kreatif mengikut citarasa dan haluan muzik masing-masing berdasarkan tema mingguan yang ditetapkan oleh pihak produksi.

Kami amat positif dan berharap agar edisi khas ini mampu melonjakkan kegemilangan jenama ‘AF’ yang menjadi antara aset serta testimoni utama saluran ini ke peringkat yang lebih tinggi. Kami berjanji untuk memberikan sepenuh komitmen kami bagi menghasilkan sebuah lagi musim yang bakal diingati sepanjang zaman menerusi ‘AF Megastar’.”

Sedikit berbeza dengan format terdahulu, edisi kali ini menjanjikan persaingan yang amat sengit kerana ia akan menghimpunkan semula bekas-bekas juara ‘AF’ yang layak menyertai pertandingan ini secara automatik serta bekas bintang ‘favourite’ yang dipilih berdasarkan prestasi terkini dalam sebuah pusingan saringan tertutup yang diadili oleh barisan juri profesional.


Seramai lapan orang bekas juara ‘AF’ yang telah mengesahkan penglibatan mereka dalam edisi khas ini iaitu Zahid (AF2), Faizal Ramly (AF4), Mila Jirin (AF5), Shahir (AF8), Faizul Sany (AF2013), Firman (AF 2014), Sufi Rashid (AF2015) dan Amir (AF2016).

Manakala enam belas orang peserta ‘favourite’ yang berjaya disenarai pendek ialah Rosma (AF1), Bob (AF2), Adam (AF2), Anding (AF2), Marsha Milan (AF3), Amylea (AF3), Idayu (AF3), Nubhan (AF6), Aril Pilus (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF2013), Indah Ruhaila (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara (AF2016).

Bagi merancakkan lagi penganjuran edisi khas ini, kesemua 24 bintang yang disenaraikan bakal berentap di pusingan ‘Konsert AF Homecoming’ untuk mara ke peringkat seterusnya di pentas utama. Kuasa mutlak pemilihan adalah 100% diserahkan kepada barisan juri profesional yang akan memilih bintang yang benar-benar layak untuk memeriahkan edisi ini. Keputusan penuh jumlah sebenar bintang yang bakal meneruskan perjuangan dalam ‘AF Megastar’ hanya akan diumumkan sejurus tamat konsert tersebut. 


Umpama sirih pulang ke gagang, ‘AF Megastar’ juga bakal menyaksikan kepulangan pengacara tersohor yang begitu sinonim dengan keluarga ‘AF’ iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi atau cukup dikenali dengan nama Pak Nil untuk mengemudikan edisi khas ini sebagai pengacara.

Mengulas mengenai pemilihan Pak Nil selaku pengacara, Raqim turut menambah, “Kredibiliti dan keupayaan Pak Nil dalam bidang pengacaraan sememangnya tidak perlu disangkal lagi. Pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang sememangnya menjulang nama beliau dalam bidang ini bukan sahaja di Malaysia bahkan di peringkat Asia adalah sesuatu yang cukup membanggakan.

Seperti yang semua sudah maklum, penglibatan Pak Nil sebagai pengacara dalam keluarga ‘AF’ bukanlah baharu. Kami amat berbesar hati apabila dapat membawa kembali bekas pengacara yang pernah menerajui pentas ‘AF’ sejak musim pertama hingga kelima dan sekali lagi dibawa masuk untuk mengendalikan pentas AF9.

Melihatkan kepada pengalaman dan kekuatan Pak Nil, kami percaya beliau mampu mengembalikan memori kegemilangan AF sekaligus mengemudikan program ini dengan sentuhan magisnya yang tersendiri untuk memikat hati para penonton agar terus melekat di kaca televisyen.”

Rangkaian program ‘AF Megastar’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta boleh dinikmati juga di aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’ untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan persediaan dan trivia para bintang dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Studio AF Megastar’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 10.55 malam bermula pada 28 Ogos 2017. Kompilasi liputan kapsul dan pengisian versi lanjutan atau ‘extended version’ pula akan ditayangkan menerusi ‘Studio AF Megastar Plus’ pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam bermula 2 September 2017.

Selama 8 minggu, program ‘AF Megastar’ akan disiarkan secara langsung dari Royal Theater, Shah Alam. Program ‘Spotlight AF Megastar’ akan menyiarkan sorotan eksklusif serta rumusan tentang konsert yang bakal menjelang sejurus sebelum bermulanya konsert mingguan pada setiap hari Ahad, jam 8.30 malam mulai 3 September 2017. Manakala dua buah pusingan ‘Konsert AF Homecoming’ untuk mengenal pasti calon bintang yang bakal berentap di pentas utama akan disiarkan jam 9.00 malam pada 3 dan 10 September 2017. Ini diikuti dengan enam buah lagi konsert mingguan ‘AF Megastar’ pada hari dan waktu yang sama bermula 17 September 2017.

Nasib bintang ‘AF Megastar’ akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan 60% oleh juri profesional. Manakala 40% lagi akan ditentukan berdasarkan undian penonton atau AFUNDI menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara ‘online’ di laman web rasmi www.afmegastar.com.my Bintang yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Talian untuk menghantarkan undian akan mula dibuka sejurus tamat ‘Konsert AF Homecoming’ di pusingan yang kedua, iaitu pada 10 September 2017 jam. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Juara ‘AF Megastar’ bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian. 


Selain itu, ‘AF Megastar’ juga sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan vivo dan D’Herbs sebagai Penaja serta Go Shop sebagai Penaja Hadiah Sampingan. Manakala Gempak juga turut menghulurkan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Rakan Digital di samping radio Sinar fm dan Aplikasi Raku selaku Radio Rasmi dan Radio Digital Rasmi.

Untuk sebarang maklumat lanjut serta mengenai informasi terkini dan video eksklusif ‘AF Megastar’, sila layari www.afmegastar.com.my atau ikuti akaun rasmi media sosial rasmi kami di Instagram (AkademiFantasia), Facebook (AkademiFantasia), Twitter (@AkademiFantasia) atau cari kami menerusi hashtag #AFMEGASTAR.


Bayangkan kalau akak Lily bawak mak akak pi PC hari tuh? mesti habis semua artis dia nak bergambar kan hehehhee


Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com