Saturday, August 1, 2026

Kempen “Gaji Seumur Hidup” Nestlé Malaysia Kembali Dengan Edisi Terbesar

Hi Korang,

Kempen ikonik Gaji Seumur Hidup anjuran Nestlé Malaysia kembali buat edisi ketiga pada 2026, menawarkan peluang lebih besar kepada rakyat Malaysia, sambil terus menyantuni pertubuhan amal yang berbakti kepada komuniti memerlukan.


Kempen tahun ini menawarkan ganjaran yang mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan, dengan seorang pemenang Hadiah Utama bakal menerima RM3,500 setiap bulan seumur hidup. Di samping itu, dua pemenang Hadiah Pertama akan menerima RM3,500 setiap bulan selama dua tahun, manakala 18 pemenang Hadiah Sagu Hati akan menerima RM3,500 setiap bulan selama setahun. Tambahan lagi, seramai 10,000 pemenang mingguan masing-masing akan menerima PIN Tambah Nilai e-Dompet Touch 'n Go bernilai RM100, menjadikan jumlah keseluruhan hadiah bagi kempen ini melebihi RM4 juta. Selain memberi ganjaran kepada pengguna, kempen ini juga akan menyumbang RM900,000 kepada 21 organisasi amal, meneruskan komitmennya untuk menyokong tujuan amal dan komuniti yang memerlukan.

En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, berkata, “KempenGaji Seumur Hidup sangat dekat di hati kami dan mencerminkan harapan, aspirasi dan realiti harian rakyat Malaysia. Bagi kebanyakan keluarga, pendapatan bulanan tetap boleh membantu menunaikan tuntutan dan komitmen harian, menjaga orang-orang tersayang, melabur dalam masa depan anak-anak dan membuat perancangan awal dengan lebih yakin. Apa yang menjadikan Gaji Seumur Hidup lebih bermakna ialah manfaat sampingan yang diterima bukan sahaja oleh para pemenang. Menerusi sokongan kami kepada pertubuhan amal, kempen ini memberi harapan dan peluang kepada komuniti memerlukan sambil mencerminkan komitmen kami untuk mencipta nilai bersama demi manfaat rakyat Malaysia.”

Diperkenalkan buat julung kalinya pada 2020 sebagai kempen pertama seumpamanya yang bertujuan memberikan sokongan bermakna kepada rakyat Malaysia ketika pandemik COVID-19, Gaji Seumur Hidup kembali pada 2024 dan sekali lagi mendapat sambutan yang luar biasa. Dalam kedua-dua edisi tersebut, kempen ini telah menawarkan hadiah tunai berjumlah lebih daripada RM8 juta kepada beribu-ribu rakyat Malaysia, sambil menyumbang sejumlah RM1.5 juta kepada 35 badan amal di seluruh negara. Inisiatif ini memperluaskan impak kempen bukan sahaja kepada para pemenang, tetapi juga kepada komuniti di seluruh Malaysia.

Pada 2024, salah satu penerima sumbangan ialah Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental Malaysia (MIASA), yang menerima RM84,000 selepas dipilih oleh pemenang Hadiah Utama.

Puan Hajjah Anita Abu Bakar, Pengasas dan Presiden MIASA berkata, “Sumbangan Nestlé Malaysia menerusi kempen Gaji Seumur Hidup bukan sahaja dari segi dana. Program ini telah memberikan pendedahan lebih besar kepada persatuan kami dan mencetus perbualan penting yang perlu dimulakan di Malaysia. Usaha menangani kesihatan mental bukan mudah, justeru apabila terdapat rakan kerjasama seperti Nestlé Malaysia yang sanggup berdiri teguh bersama, kami semakin yakin bahawa kita boleh mewujudkan negara Malaysia yang lebih berbelas kasihan dan prihatin.”

Pelancaran Gaji Seumur Hidup 3.0 lebih istimewa lagi dengan kehadiran Encik Amirrul Hafiz Bin Razak, En. Spencer Lim, dan En. Lim Yuen Heng yang merupakan Pemenang Hadiah Utama pada tahun 2020 dan 2024, yang menceritakan bagaimana kempen ini telah mengubah kehidupan mereka.


Semasa mengimbas kembali kisah peribadinya, En. Lim Yuen Heng berkata, “Memenangi Gaji Seumur Hidup merupakan satu rahmat besar buat keluarga saya. Ia memberikan kami keyakinan kewangan yang lebih kukuh dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, di samping membantu kami memenuhi keperluan isi rumah, menyiapkan kerja-kerja penambahbaikan rumah serta membuat simpanan untuk pendidikan dan masa depan anak kami. Walaupun saya dan isteri masih terus bekerja, hadiah ini memberi kami ruang untuk merancang masa hadapan dengan lebih baik, termasuk persediaan untuk persaraan. Saya amat berterima kasih kepada Nestlé Malaysia kerana mewujudkan peluang ini serta membawa impak positif dalam kehidupan kami.”

Dengan memasuki edisi ketiga, Gaji Seumur Hidup terus mencerminkan komitmen Nestlé Malaysia dalam meraikan aspirasi rakyat Malaysia serta membuka peluang yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup ramai. Kempen pengguna ini berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026. 

Pengguna boleh menyertai dengan membeli produk Nestlé yang mengambil bahagian bernilai minimum RM20 dalam satu resit, dan menghantar penyertaan melalui borang web rasmi atau WhatsApp. Penyertaan berganda dibenarkan sepanjang tempoh kempen berlangsung. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://nes.tl/gaji-seumur-hidup-2026.

No comments :