Friday, September 4, 2026

Kesihatan Metabolik – Rangkaian Sistem Tubuh yang Saling Berkaitan

Hi Semua.

Kesihatan metabolik semakin mendapat perhatian dalam perbualan mengenai kesejahteraan moden. Kebanyakan orang menganggap metabolisme yang baik hanya berkaitan dengan pengurusan berat badan atau paras gula dalam darah. Namun, lebih daripada sekadar istilah popular, kesihatan metabolik merujuk kepada keupayaan tubuh untuk menukarkan makanan kepada tenaga dengan cekap, di samping mengekalkan paras gula dalam darah, lipid dan tekanan darah pada tahap optimum, serta menguruskan berat badan tanpa keradangan kronik.

Menurut Dr. Vipada Sae-Lao, Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan, Asia Pasifik, Herbalife, “Metabolisme yang sihat bukan dicapai melalui satu amalan sahaja, sebaliknya melibatkan rangkaian saling berkaitan yang merangkumi komposisi tubuh, kesihatan usus, sistem imun, integriti kulit, tidur, pergerakan, hormon dan sistem saraf.”

Di Asia, masalah kardiometabolik yang menjejaskan kesihatan jantung dan metabolisme semakin meningkat, kerana masyarakat Asia cenderung mempunyai risiko metabolik pada tahap indeks jisim badan (BMI) yang lebih rendah berbanding masyarakat Barat. Di Malaysia, sebagai contoh, Institut Kesihatan Awam melaporkan bahawa 35.9%, atau dianggarkan 8.5 juta orang dewasa, mengalami sindrom metabolik[1]. Keadaan ini didiagnosis apabila seseorang mempunyai sekurang-kurangnya tiga faktor risiko utama penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2, termasuk tekanan darah tinggi, paras gula dalam darah yang tinggi, lemak berlebihan di bahagian abdomen serta paras[2] kolesterol atau trigliserida yang tidak normal.


Seiring proses urbanisasi, perubahan corak pemakanan dan gaya hidup yang semakin tidak aktif terus mempengaruhi rantau ini, penjagaan kesihatan metabolik perlu diberi perhatian sejak awal melalui pemakanan seimbang dan amalan gaya hidup sihat yang konsisten. Dalam erti kata lain, usaha meningkatkan kesihatan metabolik memerlukan kita beralih daripada penyelesaian segera tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada pemulihan keseimbangan dalam keseluruhan sistem tubuh. Berikut ialah beberapa cara untuk melakukannya:

Tip #1: Kepentingan Komposisi Tubuh

Metabolisme bukan hanya dipengaruhi oleh berat badan, tetapi lebih kepada komposisi tubuh secara keseluruhan. Nisbah antara otot dan lemak memberikan gambaran yang lebih bermakna tentang kesihatan metabolik berbanding berat badan atau indeks jisim badan (BMI) semata-mata. Tisu otot aktif secara metabolik, justeru lebih banyak otot bermakna tubuh menggunakan lebih banyak tenaga walaupun ketika berehat.

Lemak, yang merupakan komponen penting dalam kesihatan metabolik, bertindak sebagai sumber tenaga berterusan yang diperlukan oleh tubuh sepanjang hari, selain membentuk membran yang melindungi dan memberikan struktur kepada sel-sel tubuh. Namun, lebihan lemak, khususnya lemak tidak sihat di sekitar organ dalaman, boleh mengganggu keseimbangan metabolik dan meningkatkan keradangan.

Lemak sihat seperti asid lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan berlemak, kekacang, biji-bijian dan minyak zaitun, apabila diambil dalam jumlah yang seimbang bersama nutrien lain, dapat meningkatkan fungsi metabolik. Kajian telah membuktikan bahawa asid lemak omega-3 menyokong pembinaan otot dan pemulihan otot selepas bersenam, di samping meningkatkan penghasilan tenaga tubuh pada peringkat sel. Dengan meningkatkan kepekaan insulin dan membantu pengurusan berat badan secara berterusan, omega-3 turut membantu mengekalkan jisim dan kekuatan otot dalam kalangan orang dewasa yang mengalami kehilangan otot berkaitan usia atau sarkopenia.

Tip #2: Pengawalan Paras Gula dalam Darah

Pengurusan paras gula dalam darah semakin penting pada masa kini, khususnya apabila satu daripada enam orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023[3]. Paras gula dalam darah yang stabil dan terkawal pada tahap optimum merupakan aspek penting dalam kesihatan metabolik. Apabila kita mengambil karbohidrat, gula akan memasuki aliran darah dan merangsang penghasilan insulin, yang membantu glukosa masuk ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga. Namun, pengambilan karbohidrat ringkas secara kerap seperti kanji halus, bijirin ditapis dan gula tanpa serat, protein atau aktiviti fizikal boleh menyebabkan lonjakan paras gula dalam darah berulang serta penghasilan insulin yang berterusan, sekali gus secara beransur-ansur menjejaskan keseimbangan metabolik.

Hidangan yang sihat dengan karbohidrat rendah indeks glisemik, protein tanpa lemak, lemak sihat dan serat membantu tubuh mengawal tenaga dengan lebih berkesan. Selain itu, mengekalkan waktu makan yang konsisten serta mengelakkan makan lewat malam juga penting bagi menyelaraskan metabolisme dengan jam biologi semula jadi tubuh, sekali gus meningkatkan kepekaan insulin dan penggunaan tenaga.

Tip #3: Kesihatan Usus

‘Usus’, yang sering dianggap sebagai otak kedua tubuh, merupakan antara faktor paling utama namun sering dipandang ringan dalam kesihatan metabolik. Trilion mikroorganisma yang terdapat dalam usus berinteraksi dengan pelbagai organ, mempengaruhi keupayaan tubuh memproses nutrien dan mengekstrak kalori daripada makanan. Mikrobiom usus yang pelbagai dan mendapat nutrisi yang mencukupi menyumbang kepada fungsi metabolik yang lebih sihat, manakala sebarang ketidakseimbangan boleh menjejaskan pengawalan tenaga dan penyimpanan lemak.

Membina kesihatan usus melalui probiotik, makanan prebiotik yang kaya dengan serat, pemakanan seimbang dan amalan gaya hidup yang konsisten merupakan satu proses yang memerlukan masa. Dalam jangka panjang, amalan ini membantu memupuk mikrobiom yang lebih sihat, sekali gus menguatkan fungsi imun, mengawal keradangan dan meningkatkan kesihatan metabolik.

Tip #4: Rehat dan Pemulihan

Tidur yang berkualiti dan pengurusan tekanan yang berkesan menyokong sistem hormon dan saraf yang terkawal dengan baik, sekali gus membantu mengekalkan keseimbangan metabolik dengan mempengaruhi paras kortisol, kepekaan insulin, hormon yang mengawal selera makan, tahap tenaga serta pengawalan paras gula dalam darah.

Apa yang Kulit Anda Boleh Dedahkan tentang Kesihatan Metabolik

Kesihatan metabolik berfungsi di sebalik tabir, namun kesannya kadangkala boleh dilihat pada organ terbesar tubuh, iaitu kulit. Walaupun kesihatan kulit tidak menentukan fungsi metabolik, keadaan kulit boleh mencerminkan ketidakseimbangan dalaman yang berkaitan dengan kesihatan usus, kawalan paras gula dalam darah, komposisi tubuh, tidur dan tekanan.


‘Glass skin’ atau kulit yang bersih dan berseri, yang menjadi idaman ramai di rantau ini, bermula dengan membekalkan nutrien yang mencukupi kepada tubuh dari dalam. Pengambilan protein yang mencukupi menyokong proses pembaikan dan pembaharuan kulit, manakala buah-buahan dan sayur-sayuran beraneka warna membekalkan nutrien yang kaya dengan antioksidan seperti vitamin A, C dan E serta fitonutrien yang membantu melindungi kulit daripada tekanan oksidatif dan menyokong pembentukan kolagen. Kekal terhidrat dengan baik dan mengambil pelbagai jenis makanan sihat membantu mengekalkan struktur serta keanjalan kulit. Nutrien ini menyokong fungsi metabolik yang sihat, di samping menguatkan keupayaan tubuh menggunakan tenaga dengan cekap dan menyalurkan nutrien kepada sel-sel kulit.

Dr. Vipada Sae-Lao berkata, “Kesimpulannya, kesihatan metabolik yang baik adalah mengenai keseimbangan, apabila tubuh secara beransur-ansur menyesuaikan diri merentasi pelbagai sistem. Jika diamalkan secara konsisten, pilihan kecil yang dibuat setiap hari dapat menjadi asas kepada fungsi metabolik yang lebih baik, peningkatan kesejahteraan secara keseluruhan serta kesihatan jangka panjang yang mampan.”










Tuesday, September 1, 2026

September Yang Indah

 Hi Semua,

Kak lily memang nanti-nantikan bulan September ni tau



ermm sebab ape?

Sebab its my special month lah,

Semoga bulan September ini akan mendatangkan kebahagiaan untuk kite semua kann..

Selamat bekerja yer...

Wednesday, August 19, 2026

Madam Kwan’s Meraikan Legasi Kepercayaan dan Keenakan Rasa dengan Dua Pencapaian Penting

Hi Semua,

Siapa tak kenal dengan jenama Madam Kwan ni kan!


Sebut sahaja Madam Kwan's, ramai rakyat Malaysia membayangkan wanita kulinari istimewa di sebalik jenama ini. Berkaca mata besar, bertopi comel dan tersenyum ceria, di sisi hidangan kegemaran yang disediakan dengan penuh kasih sayang hasil nukilan resipi yang tidak lapuk ditelan zaman. Daripada resipi istimewanya, Nasi Lemak dan Char Kway Teow kepada sajian ikonik Nasi Bojari, restoran ini memiliki reputasi dalam menyediakan hidangan kegemaran rakyat Malaysia yang terkenal dalam kalangan pelbagai generasi dan menjadi pilihan ramai sejak penubuhannya pada tahun 1999.

Kini, jenama restoran tempatan ini meraikan dua pencapaian penting yang mencerminkan warisan yang dibina berasaskan keenakan rasa dan kepercayaan bertahun-tahun lamanya. Ia bukan sahaja menandakan pengiktirafan nasional oleh Malaysia Book of Records menerusi hidangan ikonik Nasi Bojari Madam Kwan’s, tetapi juga komitmen berterusan jenama berkenaan terhadap kualiti dan jaminan melalui pencapaian pensijilan Halal JAKIM di semua restorannya.

Ciptaan air tangan Puan Kwan Swee Lian sendiri, Nasi Bojari terus menjadi hidangan istimewa sejak penubuhan restoran tersebut. Diilhamkan daripada resipi gaya diraja, hidangan enak ini mengetengahkan nasi tiga warna yang harum, berserta lauk-pauk iaitu paha ayam goreng, udang assam, rendang daging lembut dan telur rebus. Hidangan ini sudah menjadi salah satu ciptaan Madam Kwan’s yang paling dikenali dan pilihan yang digemari pengunjung daripada pelbagai generasi.

Baru-baru ini kak lily sempat menghadiri majlis pengiktirafan anugerah kepada jenama Madam Kwan’s di salah satu restorannya di ibukota Kuala Lumpur.


Bagi mengiktiraf popularitinya yang berterusan, Madam Kwan’s menerima anugerah daripada Malaysia Book of Records untuk "Nasi Bojari yang Paling Banyak Terjual Dalam Setahun", yang mencatatkan jualan sebanyak 245,362 hidangan di seluruh negara.


Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records, Christopher Wong kepada Ketua Pegawai Eksekutif Madam Kwan's, Datin Maureen Ooi, bersama pengasas Datuk Rudy Foo dan empunya nama restoran berkenaan, Puan Kwan Swee Lian berusia 92 tahun, yang membuat penampilan istimewa pada majlis keraian pencapaian terbaharu jenama tersebut.


Majlis berkenaan turut meraikan satu lagi pencapaian penting iaitu, sebagai tambahan kepada dapur utamanya, sebanyak 17 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia sudah memperoleh pensijilan Halal JAKIM dengan cawangan baharunya di AEON Tebrau, Johor dijangka akan melengkapkan pensijilan terbabit dalam masa terdekat.


Pensijilan itu mengukuhkan komitmen jenama berkenaan untuk menyediakan bahan-bahan halal yang berkualiti, prosedur pengendalian yang tepat dan piawaian kebersihan yang ketat sepanjang operasinya. Ini sekali gus memberi keyakinan yang tinggi setiap kali pengunjung menjamu selera di Madam Kwan's.

Datin Maureen Ooi, Ketua Pegawai Eksekutif Madam Kwan's, berkata, "Majlis keraian hari ini melangkaui dua pencapaian berkenaan. Ia menggambarkan perjalanan Madam Kwan's yang dikongsi bersama rakyat Malaysia selama hampir tiga dekad. Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini merupakan bukti sajian kegemaran sekian lama iaitu hidangan istimewa kami, Nasi Bojari, manakala pensijilan Halal JAKIM pula mengukuhkan keyakinan para pelanggan terhadap kami setiap hari. Semua pencapaian ini mencerminkan perjuangan Madam Kwan’s iaitu, legasi kepercayaan dan keenakan rasa sajian kegemaran rakyat Malaysia yang terhasil melalui keaslian, konsistensi dan komitmen tanpa kompromi terhadap kualiti."

Dibangunkan daripada warisan kulinari yang diasaskan oleh Puan Kwan Swee Lian, jenama ini berkembang daripada sebuah restoran kepada jenama tempatan terkenal dengan 20 cawangan di seluruh negara serta perancangan untuk mengembangkan perniagaan ini di masa hadapan. Di bawah kepimpinan anak lelaki dan pengasas jenama ini, Datuk Rudy Foo dan isterinya, Datin Maureen Ooi, Madam Kwan's terus menerima perubahan gaya hidup pengguna menerusi perkhidmatan penghantaran makanan dan pengembangan rangkaian peruncitan yang merangkumi pes makanan istimewa, snek dan minuman segera pra campuran, sekali gus membawakan keenakan rasa sajian Madam Kwan's ke rumah di seluruh Malaysia.


Ooi menambah, "Sejak awal lagi, Madam Kwan’s percaya bahawa makanan yang baik akan menyatukan kita semua. Menu kami menggambarkan khazanah warisan kulinari rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, resipinya disediakan dari hati dan disajikan dengan penuh keikhlasan. Meskipun kami terus berkembang, matlamat kami tetap tidak berubah – untuk memelihara rasa asli yang digemari oleh rakyat Malaysia dan mewujudkan ruang makan yang selesa di mana setiap orang boleh datang berkunjung untuk menikmati sajian makanan Malaysia yang sebenar."

Sudah semestinya kak lily berpeluang merasai sendiri Nasi Bojari yang terkenal dengan keenakkannya yang tersendiri merupakan hidangan khas ciptaan Madam Kwan’s yang diinspirasikan daripada resipi gaya diraja (royal-style recipe). Ia terkenal dengan nasi tiga warna yang dihidangkan bersama ayam goreng, rendang daging, udang asam dan telur rebus dan ianya adalah hidangan berinspirasikan masakan diraja Melayu/Nusantara yang telah dipopularkan oleh Madam Kwan's

Bagi meraikan dua pencapaian penting ini, Madam Kwan's turut melancarkan promosi makan di restoran yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah bernilai sehingga RM20,000. Selama tiga bulan bermula pada September ini, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana cawangan Madam Kwan's di Semenanjung Malaysia untuk menyertai promosi ini sambil menikmati hidangan kegemaran istimewa rakyat Malaysia di restoran ini.

Oh ya, kini korang boleh dapatkan pelbagai produk keluaran Madam Kwan’s di setiap restoran Madam Kwan’s dan juga secara online di platform Shoppee.




Di antara produk-produknya seperti Curry Paste, Rendang Paste, Curry Laksa Paste, Char Kway Teow Sauce, Sambal Belacan Paste, Keropok Ubi Kayu, Otak-Otak Crackers, Instant White Coffee. Instant Teh Tarik, Instant Black Coffee dan pelbagai lagik.

Madam Kwan’s ialah pilihan yang dipercayai untuk menikmati masakan Malaysia autentik, menawarkan hidangan yang lazat, kualiti yang konsisten, tahap kebersihan yang tinggi serta suasana yang mesra dan selesa pada setiap kunjungan.


Nanti jangan lupa follow social media Madam Kwan’s tau..


Facebook : madamkwans
Instagram : madamkwans
Tiktok : madamkwansmy
Youtube : mymadamkwans
XiaoHongShu (RedNote) : 关夫人 Madam Kwans
Kedai Rasmi Shopee: madamkwans