Sunday, October 26, 2014

Majlis Penghormatan Ulangtahun Ke-100 Peperangan Pulau Pinang

Hi Korang,

Sedikit info mengenai sejarah Russia ye sempena Majlis Penghormatan Ulangtahun Ke-100 Peperangan Pulau Pinang yang akan berlangsung pada 28 Oktober 2014 nanti ni.


Menurut buku nukilan Dr. J. R. Robertson yang bertajuk ‘The Battle of Penang – 1914’, kapal British bernama ‘HRM Yarmouth’ cuba mengesan kapal Jerman bernama ‘SMS Emden’. Ketika itu, Great Britain, France dan Rusia menjalin Perikatan Bersekutu semasa Perang Dunia Pertama. Ramai yang beranggapan ‘Emden’ berada di Perairan Arab berikutan ketiadaan berita terbaharu tentang kapal Jerman yang diketuai oleh Kapten Karl von Mueller tersebut.

Kapal Rusia ‘Zhemchug’ pula berlabuh di Pulau Pinang untuk penyelenggaraan. Kapten Zhemchug, Baron Ivan Alexandrovich Cherkasov telah diyakinkan oleh Jeneral Gabenor di Rangoon tentang keselamatan kapal beliau dan mengambil keputusan untuk menginap di Hotel E & O, Georgetown bersama isterinya yang baru tiba dari Rusia, Baroness Varvara Cherkasova. 

Kapten Von Mueller sebenarnya sangat arif dengan perairan di situ dan kedudukan pelabuhan kerana sering melawat Pulau Pinang sebelum peperangan tercetus. Beliau dipercayai memilih untuk menyerang Pulau Pinang kerana terdapat kapal perang dari pihak Perikatan Bersekutu. Menurutnya, tiga kuasa besar tersebut setanding dengan kekuatan tentera Nazi Jerman dan peperangan seperti ini akan mencatat sejarah yang menjadi sebutan sampai bila-bila.

Emden dikatakan mula belayar secara senyap dari pukul 2 am pada tarikh 28 Oktober 1914 itu. Kapten Von Mueller memilih untuk belayar secara perlahan sementara menunggu air pasang pada pukul 5 pagi. Malah beliau dikatakan sangat arif dengan kawasan cetek dan beg pasir yang boleh memerangkap Emden sekiranya tersalah haluan dalam pelayaran.

Pada kira-kira pukul 4.30 pagi, Emden telah pun memasuki kawasan luar pelabuhan Pulau Pinang dengan kelajuan 11 knot. Dengan menyamar sebagai kapal British, ‘HRM Yarmouth’, Endem berjaya mendekati kawasan pelabuhan. Malah terdapat laporan mengatakan, bot kecil yang berada di perairan terdengar Kapten Von Mueller memberitahu yang beliau dari kapal Yarmouth. 

Pihak Jerman berjaya mendekati Zhemchug dan pada kira-kira pukul 5:18 pagi, Emden memulakan serangan dengan melepaskan meriam kea rah Zhemchug. Akibat serangan Emden, kapal Zhemchug tidak berada dalam kedudukan optimum untuk melepaskan serang balas. Dengan keadaan sedikit terjongket dan kedudukan sangat dekat dengan Emden, Zhemchug melepaskan tembakan tetapi tidak menepati sasaran. 

Kapal Perancis ‘Mousquet’ pula baru tiba dari rondaan turut diserang oleh Emden. Menurut laporan, Mousquet tidak melepaskan sebarang tembakan ke arah Emden atas sebab yang tidak diketahui, Akhirnya, Zhemchug dan Mousquet tenggelam dalam perairan Pulau Pinang. 

Sementara itu, Baron Cherkasov yang berada di hotel bersama isterinya terbangun dan tidak dapat melakukan apa-apa. Beliau hanya mampu melihat dari tingkap bilik hotelnya. Peperangan tersebut telah meragut nyawa 88 kelasi Rusia dan mencederakan 121 yang lain. Ketika kejadian berlaku, nelayan Pulau Pinang yang berada berhampiran pelabuhan terus menaiki bot masing-masing dan menyelamatkan kelasi Rusia yang berada di laut. 

Baron Cherkasov dan orang kanannya, Lt Kulibin telah dikenakan tindakan ketenteraan atas kecuaian mereka. Baron Cherkasov dipenjarakan selama 3 ½ tahun, dilucut pangkat dan dibuang dari Tentera Laut Rusia. Manakala Lt Kulibin dipenjara selama 1 ½ tahun. Bagaimanapun atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang perkhidmatan, Tsar Nicholas Kedua telah mengubah hukuman tersebut dan memutuskan supaya mereka berkhidmat sebagai tentera biasa tanpa sebarang pangkat.


Kejadian ini sebenarnya merupakan titik tolak hubungan baik antara Rusia dan Malaysia yang jarang diperkatakan orang. Dalam jumlah yang terkorban itu, 12 disemadikan di Pulau Pinang, termasuk 2 di Pulau Jerejak. Setiap tahun, Kedutaan Rusia di Malaysia akan mengadakan majlis penghormatan sempena Peperangan Pulau Pinang sebagai tanda menghargai jasa baik rakyat Malaysia yang pernah satu ketika menyelamatkan kelasi Rusia yang hampir lemas.


Tidak hairanlah, semakin ramai pelancong dari Rusia datang ke Malaysia terutama semasa cuti musim sejuk. Selepas melawat Pulau Pinang, mereka akan meneruskan percutian ke Pulau Langkawi. Selain destinasi utara Semenanjung Malaysia, pelancong Rusia juga tertarik dengan keindahan di Sabah dan Sarawak.

No comments :