Monday, June 3, 2024

Nestlé Malaysia Terus Mempergiat Usaha Penanaman Semula Hutan, Sejumlah 1.8 Juta Pokok Ditanam Di Bawah Projek RELeaf

Hi Korang,

Usaha penanaman semula hutan Nestlé Malaysia telah mencapai satu lagi mercu penting, selepas berjaya menanam 2.8 juta pokok menerusi Projek RELeaf yang sedang dijalankan dan juga Projek RiLeaf yang telah dilaksanakan sebelum ini.


Malah, Projek RELeaf sahaja setakat ini telah berjaya menanam 1.8 juta pokok. Pencapaian memberangsangkan ini sejajar dengan matlamat Syarikat untuk menanam 4 juta pokok di seluruh Malaysia menjelang 2025, untuk menghasilkan sekuestrasi karbon (proses mengikat karbon dioksida dari udara untuk mengurangkan gas rumah hijau akibat pemanasan global) berjumlah kira-kira 700,000 tan.

Untuk menggiatkan lagi usaha ini, Syarikat telah meneruskan acara Penanaman Pokok Tahunan di seluruh negara, dengan lebih daripada 400 sukarelawan Nestlé Cares yang penuh berdedikasi dan wakil daripada rakan kerjasamanya, Sime Darby Plantation dan TDM Plantation, berganding bahu untuk menanam sejumlah 5,000 pokok di lima lokasi di seluruh negara, iaitu Taman Alam Kuala Selangor; SDP Labis Utara, Johor; SDP Tiger Estate Tawau, Sabah; TDM Plantation, Terengganu; dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.


En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad berkata, “Mengimbas kembali usaha ini, kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai dalam program penanaman semula hutan. Penanaman sejumlah 2.8 juta pokok merupakan satu mercu jaya penting dalam perjalanan ESG kami, dan usaha hari ini mencerminkan dedikasi berterusan kami untuk meluaskan strategi Positif Hutan kami melindungi ekosistem Malaysia yang berharga. Kami kini menetapkan sasaran untuk menanam baki 1.2 juta pokok menerusi Project RELeaf menjelang separuh pertama 2025, seterusnya menuju ke arah mencapai sasaran mutlak menanam 4 juta pokok. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada rakan-rakan kerjasama yang dihormati, iaitu Sime Darby Plantation, TDM Plantation dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia atas sokongan tidak berbelah bagi mereka terhadap inisiatif penanaman semula hutan kami.”


Nama Projek RELeaf Nestlé Malaysia adalah berasaskan singkatan 3 ”R” – REforest, REstore dan REspect (Menanam Semula, Memulihkan dan Menghormati Hutan). Menerusi projek ini, Syarikat bertekad untuk menanam semula pokok di koridor hidupan liar untuk menghubungkan hutan-hutan yang terpisah bagi mengurangkan konflik antara manusia-haiwan dan melindungi habitat hidupan liar, memulihkan zon penampan tebing sungai bagi mengurangkan pencemaran air akibat mendapan tanah dan larian air pertanian, dan lebih penting lagi, menghormati dan menyokong transformasi positif penduduk tempatan.

Di samping melindungi alam sekitar, Project RELeaf juga menyokong mata pencarian petani tempatan dan masyarakat Orang Asli, khususnya golongan wanita, di Kinabatangan, Sabah, dan di seluruh Semenanjung Malaysia. Usaha ini dijayakan dengan memberikan latihan yang bertujuan membina kapasiti mereka sambil meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya pemuliharaan alam sekitar. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk menyemai anak benih, memantau pemindahan ke tapak penanaman dan menjaga pokok yang telah ditanam. Setakat ini, Nestlé Malaysia telah melibatkan lebih daripada 90 komuniti tempatan dalam proses penanaman anak benih dan lebih daripada 120 komuniti untuk menanam pokok.


Selain daripada melibatkan penduduk tempatan, aktiviti menanam pokok di seluruh negara kali ini juga menjadi medan latihan untuk memberikan pengalaman langsung yang melengkapkan kakitangan dengan ilmu yang diperlukan dalam kaedah penanaman dan pertumbuhan semula hutan. Matlamatnya bukan sahaja untuk meningkatkan kefahaman tentang penanaman semula hutan, tetapi juga menyemai benih kelestarian di dalam organisasi.

"Kami di Nestlé Malaysia, benar-benar menghayati kepentingan usaha penanaman semula hutan dan menghormati alam sekitar. Kami berharap dengan menyertai aktiviti penanaman pokok ini, kita semua akan memberi inspirasi kepada insan lain untuk melibatkan diri dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Dengan memupuk budaya kelestarian, kami ingin membawa kesan positif yang berkekalan kepada alam sekitar dan masyarakat di tempat kami berkhidmat,” rumus Aranols.


No comments :