Showing posts with label coronavirus. Show all posts
Showing posts with label coronavirus. Show all posts

Saturday, March 14, 2020

Saintis Sahkan Bukan Hanya Batuk & Bersin, Tapi COVID-19 Boleh Tersebar Melalui CIRIT-BIRIT!

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.

Wabak COVID-19 ataupun coronavirus yang melanda sering dikaitkan dengan masalah pernafasan. Mana tidaknya, simptom yang diuar-uarkan seperti batuk dan sesak nafas memang tertumpu kepada masalah organ paru-paru. Itu merupakan kaedah utama penyebaran virus novel korona.


Di saat orang ramai sibuk menutup mulut, membeli topeng untuk melindungi diri daripada dijangkiti oleh wabak coronavirus, kajian terbaru telah mengesahkan bahawa wabak coronavirus baharu boleh tersebar melalui laluan fecal-oral.

Ciri-ciri penyebaran yang sama dengan wabak coronavirus SARS

Walaupun cara penyebaran melalui sisa perkumuhan ini merupakan maklumat baharu yang telah disahkan oleh kajian sains, tapi saintis tidak terkejut. Ini berikutan virus novel korona (COVID-19) ini sering dikaitkan dengan virus korona sindrom pernafasan akut teruk (SARS-CoV).


Persamaan di antara kedua-dua virus ini dipersetujui oleh kebanyakan ahli akademik sehinggakan ia pernah digelar sebagai SARS-CoV-2.

Suatu ketika dahulu, kajian menunjukkan bahawa SARS-CoV boleh tersebar melalui sisa air kencing pesakit. Sampel virus tersebut juga jelas terzahir pada sampel najis menunjukkan SARS-CoV bukan hanya tersebar melalui batuk atau bersin.

Perkara ini, walaupun tidak mempunyai implikasi yang agak dahsyat kepada orang awam, tapi boleh membahayakan golongan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merawat pesakit. Tanpa memakai alat perlindungan diri, mereka mudah untuk dijangkiti oleh sampel sisa perkumuhan pesakit walaupun ia jarang berlaku.

10 peratus daripada jumlah pesakit yang disoal selidik di Hospital Wuhan (14 daripada 138 orang pesakit) mengalami simptom gastrousus seperti cirit-birit, loya dan muntah sebelum menunjukkan simptom pernafasan.

Tanpa mengetahui tentang peranan virus novel korona terhadap sistem gastrousus, simptom sebegitu pastinya dirawat sebagai masalah keracunan makanan walhal daripada sejarah pesakit, ia jelas menunjukkan risiko jangkitan wabak coronavirus.

Pesakit pertama yang didiagnosis di Amerika Syarikat turut mengalami simptom cirit-birit, 2 hari sebelum demam dan sesak nafas berlaku. Ia bukanlah simptom utama namun wajar diambil kira. 

Mereka yang mengalami cirit-birit dan mempunyai hubungan secara langsung dengan mereka yang positif wabak coronavirus atau baru pulang dari Wuhan perlu disiasat dengan lebih lanjut.

Titisan udara masih cara utama wabak coronavirus tersebar

Walaupun kajian soal selidik di China tersebut menunjukkan cara penyebaran terbaharu virus novel korona, namun cara utama masih melalui titisan udara. 


Mereka yang mengalami simptom selesema perlu memakai topeng muka bagi mengelakkan virus tersebut daripada tersebar. 

Topeng tersebut hanya betul-betul berkesan bagi menghindarkan penyebaran virus. Ia tidak berapa berkesan dalam menghindarkan anda daripada dijangkiti virus.

Jadi, bagaimana cara untuk anda melindungi diri daripada dijangkiti oleh wabak coronavirus?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan amalan cuci tangan dengan menggunakan sabun dan air.

Ia ternyata berkesan dalam membasmi virus novel korona tersebut melalui pelbagai kajian. Pernah juga tular di Facebook berkenaan dengan eksperimen ringkas menunjukkan perbezaan di antara penggunaan air dan sabun serta hand sanitizer terhadap penjagaan roti daripada kulat.

Air dan sabun bukan sahaja berupaya untuk membasmi majoriti mikroorganisma, tapi ia juga boleh digunakan pada tangan yang kotor. Hand sanitizer cuma boleh digunakan pada situasi di mana tidak terdapat air dan sabun.

Kepekatan alkoholnya mestilah berada pada paras 60% dan ke atas, jika tangan anda kotor, basuh tangan anda menggunakan air terlebih dahulu. Melalui langkah pencegahan ini, wabak coronavirus baharu boleh dikawal dengan baik.

Individu yang kerap bersin dan batuk juga perlu mengamalkan teknik/ etika yang betul. Bagi virus yang disebarkan melalui titisan udara, berdiri pada jarak 2 meter daripada individu lain mampu menghindarkan penyebaran virus.

Tutup mulut anda menggunakan tisu dan buang tisu tersebut selepas digunakan. 

Tempoh jangka hayat virus di dalam sisa perkumuhan

Walaupun kajian yang dijalankan di Jerman menunjukkan bahawa virus korona novel boleh hidup di luar badan manusia dalam tempoh 9 hari, namun ia berbeza mengikut permukaan objek. 


Kajian tersebut menggunakan tombol pintu dan barangan lain namun tidak mengambil kira sampel najis yang mempunyai kadar lembapan yang agak tinggi. Semakin tinggi kadar lembapan, semakin panjanglah jangka hayat virus tersebut di dalam sampel yang tercemar.

Buangan sisa klinikal selepas melakukan ujian makmal atau kajian perlu dilakukan dengan betul. Jika tidak, mereka yang menguruskan sisa klinikal tersebut berisiko untuk mendapat wabak coronavirus baharu kelak. 

Masih tiada lagi maklumat lengkap berkenaan dengan jangka hayat COVID-19 di luar badan. Virus SARS-CoV hanya boleh bertahan selama 24 jam di luar badan manusia, namun pada sampel najis, jangka hayatnya meningkat 4 kali ganda kepada 4 hari.

Jika virus novel korona mempunyai sifat yang sama, ini bermakna, ia berupaya untuk terus menjangkiti individu lain dalam tempoh masa melebihi sebulan. 

Penyebaran melalui najis merupakan cabaran baharu dalam membendung wabak coronavirus yang melanda terutamanya di kawasan hospital.
Konklusi

Maklumat berkenaan dengan cara penyebaran baharu virus ini menunjukkan bahawa kita perlu memberikan tumpuan kepada simptom gastrousus juga. Walau bagaimanapun simptom pernafasan seperti batuk dan sesak nafas tetap menjadi gejala utama dalam mendiagnosis pesakit.

Jika seseorang itu mengalami muntah, loya dan cirit-birit, nasihatkan mereka untuk berjumpa dengan doktor. Perkara ini terutamanya jika mereka pernah berhubung dengan pesakit wabak coronavirus.


Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh M, Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek



#HelloHealthGroup
#hellodoktor
#HelloHealthCoronaVirus



Tuesday, February 11, 2020

Hand Sanitizer Boleh Bunuh Kuman Pada Tangan?

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.



Kita mungkin sering menggunakan hand sanitizer, dengan tujuan untuk membasmi kuman. Walau bagaimanapun, adakah penggunaan hand sanitizer benar-benar berkesan untuk membunuh virus? Adakah terdapat cara lain yang lebih mudah dan berkesan bagi membunuh virus pada tubuh anda?

Ikuti jawapannya melalui penulisan ini.

Hand sanitizer boleh bunuh virus flu dan Ebola?

Baru-baru ini, The Food and Drug Administration (FDA) telah mengeluarkan surat amaran kepada GOJO Industries, pengeluar produk Purell, agar menghentikan tuntutan bahawa produk hand sanitizer mereka boleh membunuh virus seperti flu dan Ebola.

Menurut FDA, produk Purell yang berasaskan alkohol diperakui sebagai ubatan, tetapi belum diluluskan untuk diiklankan seperti tuntutan berikut. Di Amerika Syarikat, jenama hand sanitizer Purell ini adalah jenama yang paling popular bagi penduduk di sana.

Apa yang Purell letakkan pada botol hand sanitizer mereka?

Purell membuat tuntutan ‘Terbukti mampu membunuh 99.9% kuman pada tangan’ bagi produk-produk mereka. Untuk pengetahuan anda, tuntutan sebegini berada di kesemua botol produk, penjenamaan, laman web dan keterangan produk Purell. 

Ia adalah satu tuntutan yang sangat meyakinkan pengguna terutama sekali pada waktu di mana wabak novel coronavirus sedang merebak di seluruh dunia. Tuntutan berlebihan sebegini boleh memperdayakan pengguna yang mungkin beranggapan bahawa produk mereka boleh membunuh virus hampir 100%

Saranan CDC dan WHO

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) dan WHO menggalakkan penggunaan air dan sabun sebagai cara utama bagi membersihkan diri anda daripada kuman dan virus. Penggunaan air dan sabun lebih berkesan menanggalkan bahan kimia berbahaya dan juga virus berbanding hand sanitizer.


Jika tiada air dan sabun, maka hand sanitizer berasaskan alkohol boleh digunakan sebagai salah satu langkah-langkah pencegahan bagi jangkitan virus flu. CDC menyatakan bahawa disinfektan dengan kepekatan alkohol antara 80 hingga 90 peratus adalah ‘kuat’ atau ‘berkuasa’ dalam melemahkan kesemua enveloped virus (virus berkapsul). 

Hand sanitizer berasaskan alkohol boleh mengurangkan mikrob pada tangan anda dengan lebih pantas dalam situasi tertentu, tetapi ia tidak mampu membunuh kesemua mikrob atau kuman pada tangan anda.

Hand sanitizer tidak begitu berkesan apabila tangan anda kotor dan berminyak

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa, hand sanitizer berkesan dalam perkhidmatan klinikal seperti hospital, kerana tangan tidak terlalu kotor dengan tanah dan berminyak. Ini kerana, jika tangan anda berada dalam keadaan yang sangat berminyak atau kotor, penggunaan hand sanitizer sememangnya tidak begitu berkesan. 

Jika tangan anda kotor dengan kesan tanah selepas bersukan, cara terbaik untuk membersihkannya daripada kuman atau virus adalah dengan menggunakan sabun dan juga air.

Hand sanitizer tidak menanggalkan bahan kimia berbahaya pada tangan anda

Berdasarkan banyak kajian yang telah dilaksanakan, hand sanitizer mungkin tidak mampu untuk menanggalkan bahan kimia berbahaya daripada tangan anda. 

Dalam satu kajian, individu yang menggunakan hand sanitizer untuk membersihkan tangan mereka memiliki tahap kandungan racun perosak yang lebih tinggi dalam tubuh. Oleh itu, jika tangan anda ada menyentuh bahan-bahan kimia berbahaya, basuh tangan anda dengan bersih menggunakan sabun dan juga air.

Adakah hand sanitizer boleh menyebabkan mudarat jika saya tertelannya?

Kanak-kanak cenderung untuk menelan hand sanitizer yang mempunyai bau yang wangi, berwarna atau memiliki pembungkusan yang menarik. Hand sanitizer perlu disimpan jauh daripada dicapai oleh kanak-kanak dan digunakan di bawah pengawasan individu dewasa. 

Hand sanitizer yang berasaskan ethyl alcohol (ethanol) adalah selamat jika anda menggunakannya seperti yang diarahkan. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan keracunan alkohol jika seseorang menelannya dengan kadar yang tertentu.


Kesimpulan

Jelas sekali bahawa hand sanitizer tidak mampu untuk membunuh 100% kuman pada tangan anda seperti yang didakwa. Selain itu, ia juga tidak begitu berkesan bagi menanggalkan kotoran fizikal yang lebih berat seperti sisa makanan dan tanah. Oleh sebab itu, CDC menyarankan untuk kita sebaiknya mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air. Jika tidak terdapat sabun dan air, barulah hand sanitizer boleh digunakan sebagai pilihan kedua. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh , Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan


Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek





Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com