Showing posts with label BookXcess. Show all posts
Showing posts with label BookXcess. Show all posts

Friday, November 15, 2019

Kedai Buku Pertama di Malaysia Yang Berkonsepkan Terowong Buku Dibuka di BookXcess Sunsuria Forum

Hi Korang,

BookXcess Sunsuria Forum ialah kedai buku pertama seumpamanya yang berkonsepkan terowong buku di Malaysia yang berpeluang membawa pengunjung menerokai dunia pembacaan sambil ditemani setengah juta buku. Terletak di SB-1, Sunsuria Forum @ 7th Avenue, Setia Alam, kedai buku seluas 16,000 kaki persegi ini menawarkan buku dengan diskaun antara 50% hingga 80% berbanding harga runcit yang disyorkan. Ia dibuka setiap hari mulai 10:00 pagi hingga 10:00 malam. 

Para pengunjung yang datang ke sini pasti kagum apabila melihat terowong buku yang tersergam indah di bahagian pintu masuk kedai buku ini.


Sebaik sahaja melalui terowong buku berkenaan, para pengunjung akan mendapati bahawa mereka telah dibawa ke satu dunia berbeza sambil menerokai kedai buku tersebut. Para pencinta buku boleh menemukan beraneka jenis buku daripada seni dan reka bentuk hinggalah kesusasteraan, fiksyen, bukan fiksyen, novel remaja, buku kanak-kanak dan banyak lagi karya hebat yang tersembunyi.


Kedai buku ini turut menyediakan ruang kerja dan sudut membaca yang selesa untuk para pengunjung meneliti sampel buku yang disediakan. Para pembaca yang gemar membaca sambil menikmati kopi boleh mendapatkan secawan kopi premium yang dibru segar serta aneka juadah ringan di kafe milik BookXcess di dalam kedai buku berkenaan. 




Para ibu bapa pasti menyukai bahagian kanak-kanak di mana si manja mereka boleh bermain di dalam mini-maze yang disediakan dan mencari buku yang diidamkan daripada pelbagai koleksi buku kanak- kanak yang kami tawarkan. Ibu bapa yang mempunyai anak kecil juga boleh mendapatkan Buku Ajaib yang dilengkapi dengan teknologi Augmented Reality (AR) yang dijual secara eksklusif di BookXcess. Kanak-kanak boleh membaca, bermain dan belajar dengan Buku Ajaib berkenaan kerana ia menggunakan teknologi canggih bagi merevolusikan pembacaan untuk generasi akan datang dengan mewujudkan pengalaman membaca yang serba interaktif lagi mengasyikkan. Menampilkan lima belas judul, si manja anda boleh melihat watak-watak kegemaran mereka dihidupkan di dalam cerita Little Red Riding Hood, Cinderella atau The Night Before Christmas. 


“Kami mahu memupuk minat suka membaca di kalangan rakyat Malaysia dengan pembukaan kedai buku kami yang kelapan di Malaysia dan kedai buku ketiga dalam tahun ini. Kami sentiasa mencari cara baru bagi menggalakkan amalan suka membaca dalam kalangan masyarakat dan pewujudan konsep baru seperti terowong buku ini adalah sebahagian daripada usaha berkenaan. Struktur dan konsep unik ini akan menarik para pembaca serta bukan pembaca ke kedai buku ini, dan dengan harga hebat yang ditawarkan, kami berharap dapat mengubah fikiran mereka untuk membawa pulang senaskah atau dua naskah buku. Buku dan ilmu pengetahuan merupakan faktor utama untuk mengubah dunia. Kami amat berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada Sunsuria Berhad, yang merupakan pemaju hartanah terkemuka, untuk menjadikan kedai buku kami sebagai penyewa utama Sunsuria Forum @ 7th Avenue. Ia pasti menjadi lokasi tumpuan ramai dan semoga masyarakat sekeliling teruja dengan kehadiran kami dan meluangkan masa berkualiti bersama-sama dengan keluarga serta rakan mereka sambil mencari buku kegemaran mereka di sini,” kata Ketua Pegawai Pemasaran BookXcess, Dipak Madhavan. 

‘‘Dengan penerapan konsep pengayaan kanak-kanak dan elemen berorientasikan kekeluargaan dalam Sunsuria Forum, kami percaya bahawa tempat ini akan menjadi pusat bualan masyarakat yang hangat diperkatakan. Selain daripada aneka kemudahan serta pilihan makanan dan minuman, kami pasti BookXcess akan mendapat faedah yang besar dari komuniti sekitar terutamanya dari keluarga muda yang lebih mengutamakan kepentingan membaca dalam kehidupan seharian. Pembukaan BookXcess di Sunsuria telah menjadi satu pengiktirafan kepada kami dalam arah pembangunan berintegrasi yang mempunyai kawasan membeli-belah, suite SOHO, pejabat korporat dan kediaman berservis yang dalam pembinaan,’’ kata Wong Chiew Meng, Pengarah Kanan Projek Sunsuria Berhad. 


Red Readerhood, sayap Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BookXcess di BookXcess Sunsuria Forum akan memadankan sumbangannya dengan setiap naskah buku yang diderma oleh para pelanggan. Dimulakan pada 2011, Red Readerhood menghulur bantuan kepada masyarakat dengan kerjasama pertubuhan tempatan bagi memberikan buku kepada mereka yang memerlukan. Inisiatif ini dilaksanakan kerana ia percaya bahawa semua orang perlu mempunyai akses terhadap buku dan pembelajaran, tanpa mengira status mereka. Para pelanggan boleh memilih buku untuk didermakan dari sudut Red Readerhood yang dikhususkan di kedai buku ini. Kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Amal Bistari dan Cahaya Kasih Bestari akan menerima sumbangan buku berkenaan dengan harapan kanak-kanak di rumah tersebut akan mendapat ilmu pengetahuan menerusi inisiatif ini dan berinspirasi untuk mengejar impian mereka. 

Para pengunjung boleh menikmati potongan tambahan sebanyak 20% di atas harga diskaun yang ditawarkan sepanjang minggu pembukaan mulai 31 Oktober hingga 3 November 2019. Semasa minggu pembukaan tersebut, pengunjung yang berbelanja lebih RM50, RM100 dan RM150 akan layak menyertai promosi terpilih seperti keahlian BookXcess percuma, kopi atau teh percuma di CafĂ© Wolf serta mendapat potongan RM10 atau RM20 untuk pembelian mereka yang seterusnya. Kunjungi laman media sosial BookXcess untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menyertai pertandingan yang kami anjurkan, sila kunjungi: 


Instagram: @bookxcess




Thursday, June 7, 2018

BookXcess Melancarkan Kedai Buku 24 Jam Pertama dan Terbesar di Malaysia

Hi Korang,

BookXcess secara rasminya melancarkan kedai buku 24 jam pertama di Malaysia hari ini di Tamarind Square, Cyberjaya. Dengan keluasan 37,000 kaki persegi, BookXcess Tamarind Square juga merupakan kedai buku terbesar di Malaysia, di mana 500,000 buku ditawarkan dengan harga diskaun antara 50% - 80% berbanding harga asal. 


“Sejak dahulu lagi, sasaran kami di BookXcess adalah untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi kami, pelancaran BookXcess di Tamarind Square bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Hari ini juga menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk memastikan lebih ramai orang mempunyai akses untuk buku pada harga mampu milik,” kata Andrew Yap, salah seorang pengasas BookXcess. “Kos buku merupakan faktor yang dibimbangi ramai pencinta buku. Dengan pelancaran kedai buku terbesar negara, dan setengah juta buku yang ditawarkan pada harga menarik, kami berharap dapat mencapai lebih ramai pembaca buku di Cyberjaya, Lembah Klang, Seremban, Putrajaya dan banyak lagi.” 

Sempena dengan pelancaran cawangan baru ini, BookXcess memberi peluang kepada pelanggan bertuah untuk menyertai pertandingan mengisi seberapa banyak buku percuma yang mampu ke dalam bakul selama 3 minit. Untuk penyertaan, pelanggan perlu membelanja sekurang-kurangnya RM50 di mana-mana kedai buku BookXcess dari 4 Jun sehingga 22 Julai 2018 untuk menyertai cabutan bertuah. Empat belas pemenang bertuah akan dipilih untuk menyertai pertandingan tersebut di BookXcess Tamarind Square di hujung bulan Julai 2018. 





Pencinta buku mampu mendapatkan pelbagai jenis judul yang menarik di BookXcess Tamarind Square, yang terdiri daripada seni dan rekaan, kesusasteraan, fiksyen, bukan fiksyen, remaja, buku kanak-kanak dan banyak lagi judul buku istimewa yang lain. BookXcess juga berusaha menyediakan pelbagai seleksi judul yang terkenal dan bahan bacaan alternatif yang sukar ditemui di kedai buku yang lain. 

Dikelilingi dengan keindahan lanskap hijau, BookXcess Tamarind Square merupakan salah satu cawangan kedai buku BookXcess yang mempunyai mutu dan estetik yang paling menyerlah setakat ini. Peminat fotografi dan pengguna Instagram pasti teruja melihat begitu banyak sudut menarik yang sesuai untuk rakaman video dan mengambil gambar bersama buku-buku yang dibeli. 


“Kami bekerjasama rapat dengan pereka dalaman dalam merealisasikan visi kami untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang 37,000 kaki persegi itu supaya ia kondusif untuk golongan pembaca, termasuk kemudahan kafe kepada mereka yang ingin bersantai dengan minuman dan snek ringan” kata Andrew Yap. “Kami mahukan lokasi yang selesa untuk pembaca di BookXcess Tamarind Square, yang jauh dari kesibukan bandar dan menjadi sumber inspirasi buat pembaca sambil dikelilingi oleh persekitaran hijau dan buku-buku kami.” 

Pelanggan di BookXcess Tamarind Square boleh menikmati WiFi percuma dan menggunakan ruang umum untuk belajar dan membuat kerja, selain kemudahan ruang untuk mengadakan acara dan aktiviti. 

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti yang mengujakan diatur dalam masa yang terdekat ini untuk pelanggan dari semua peringkat usia, seperti pertandingan bercerita, pertandingan mewarna, kelas seni dan kraf, dan termasuklah bengkel untuk kanak-kanak dan orang dewasa di BookXcess Tamarind Square. 


Cawangan kedai buku Tamarind Square terletak di L3M-04, Tamarind Square, Persiaran Multimedia, Cyber 10, 63000 Cyberjaya. Pelanggan boleh menghubungi kedai ini di talian 03-2726 2438, 24 jam setiap hari. 

Untuk mendapatkan berita terkini mengenai BookXcess, pelanggan boleh melayari: 


Instagram: @bookxcess 












Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com