Wednesday, August 18, 2021

Kempen Hari Kebangsaan dan Sambutan 25 Tahun Astro Berkhidmat Untuk Rakyat Malaysia

Hi Korang,

Astro mengumumkan tema #KitaTeguhBersama mendasari kempen Hari Kemerdekaan pada tahun ini, sejajar dengan sambutan ulangtahun ke-25 berkhidmat untuk rakyat Malaysia. 


Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa setia bersama, Astro bakal melancarkan ‘Astro 25’ di Saluran 100, yang menyajikan program-program hiburan istimewa tempatan dan serantau, judul-judul terkini, filem-filem pecah panggung, dan seleksi dokumentari dari 16 Ogos hingga 3 Oktober 2021 di Astro TV, On Demand dan Astro GO.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, berkata, “Ini merupakan Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan yang teramat istimewa buat kami, dan tema yang diangkat pula, #KitaTeguhBersama membawa maksud kita adalah lebih kuat dan baik bersama. Ia mencerminkan segala nilai yang kita nampak di kalangan rakyat Malaysia dan boleh dijadikan asas utama untuk kita kembali bersatu padu, baik semula dan berkembang di saat-saat sukar ini.”

Astro telah melaksanakan beberapa inisiatif seiring dengan semangat #KitaTeguhBersama, dan ia termasuklah:

· Membantu dengan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menderma darah bersama Pusat Darah Negara

· Menyokong kempen imunisasi kebangsaan dengan memperbanyakkan pengumuman khidmat masyarakat atau PSA, menjadi sukarelawan di pusat-pusat PPV dan menyediakan perkhidmatan Astro dan TV di pusat-pusat kuarantin seluruh negara

· Membantu golongan yang memerlukan menerusi program komuniti ‘KamiCare’

· Membantu golongan SME menerusi kempen ‘KamiCare MBiz’

· Menyumbang peralatan perubatan di hospital dan komputer riba kepada para pelajar dari kelompok B40

· Terus menyampaikan informasi-informasi terkini, menghiburkan dan mengangkat semula semangat di kalangan rakyat Malaysia dengan sajian kandungan di saluran-saluran komplimentari sepanjang PKP, dengan seleksi drama tanpa henti, program-program ‘signature’ terkini, dan siri-siri original premium

· Memperbanyakkan kandungan berbentuk akademik bagi membantu kanak-kanak belajar dari rumah

· Menyatupadukan rakyat Malaysia dengan memberi sokongan kepada barisan atlet di Sukan Olimpik Tokyo 2020.


Tambah Tan lagi, “Tahun ini Astro berusia 25 tahun dan kami akan terus komited dalam usaha menyajikan rakyat Malaysia dengan seleksi kandungan yang penuh variasi, menggabungkan perkhidmatan-perkhidmatan penstriman terhebat seperti Astro GO, Disney+ Hotstar, HBO Go, iQIYI dan akan datang, Netflix. Kami akan terus mencipta tanda aras baharu dalam menerbitkan program-program tempatan terbaik dan rancangan siaran langsung demi menghiburkan rakyat Malaysia.

Di saat kita mengimbas kembali 25 tahun Astro berkhidmat kepada pelanggan yang mana termasuklah ketika kita memperkenalkan siaran HD yang pertama, 3D dan 4K UHD, membawakan tayangan pawagam yang pertama di rumah anda, Astro First, saluran sukan tempatan pertama di rantau ini yang bersiaran secara berterusan selama 24/7 dan banyak lagi, kami sesungguhnya berbangga kerana menjadi sebahagian dari hidup ramai di antara anda di luar sana. Kami menjuarai segmen pendidikan, mengangkat acara sukan tempatan dan para atlet di pentas dunia, meletakkan satu tanda aras yang tinggi untuk program-program tempatan, mencungkil bakat dan melahirkan bintang-bintang terhebat tanah air dan menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersinar dan merealisasikan impian dan potensi mereka. Bakat-bakat kami seperti Nabil Ahmad, Aznil, Zizan, Remy, Hui Min, Denesh, Ean dan Arnold, serta Chiu Keng Guan adalah di antara nama-nama mereka yang telah berjaya mengorak langkah ke hadapan dan mencapai impian mereka. Seperti perumpamaan ramai, impian adalah sesuatu yang diwujudkan bersama dan tiada di antara ini yang mampu dizahirkan tanpa sokongan pelanggan di luar sana.”

Sejak dari 12 bulan yang lalu, Astro berjaya melakarkan kejayaan dengan meraih kutipan tertinggi di saluran Astro First menerusi filem ‘Mael Totey’, memperkenalkan drama premium tempatan megahit, ‘Projek: Anchor SPM’, melebarkan lagi sayap jenama Hantu Kak Limah dengan membawakan ‘Kampong Pisang’ dan berusaha menawan hati penonton baharu khususnya dengan drama-drama yang lebih hebat seperti ‘Scammer’ dan ‘Ratu Ten Pin’. Dalam pada itu, drama di Astro Ria, ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ dinobatkan sebagai drama #1 untuk tahun 2021, dan siri-siri antarabangsa yang ditunggu-tunggu seperti ‘Zack Snyder’s Justice League’, ‘Friends: The Reunion’ dan K-drama yang menjadi bualan ramai, ‘Penthouse’. 

Sajian kandungan vernakular terus menjadi pilihan penonton dan di antara yang merekodkan pencapaian adalah seperti kandungan IP kami, program berbentuk bual bicara; ‘Evening Edition’ dan ‘Prime Talk’ dan program signature berbahasa Cina, ‘Classic Golden Melody’ serta dokumentari ‘Social Playlist’. Selain dari itu, drama bersiri ‘Tamiletchumy’ di Astro Vaanavil dan filem ‘Vetti Passenge’, ‘Vedigundu Passenge’ dan ‘Appalam’ turut mendapat tempat di hati peminat.


‘Astro 25’ di Saluran 100 untuk semua

Mulai 16 Ogos hingga 3 Oktober ini, semua pelanggan Astro boleh menonton ‘Astro 25’ di saluran 100 dan nikmati judul-judul terkini seperti berikut:


• Tanah Tumpahnya Darah Kita 
sebuah dokumentari yang berkisahkan tentang seorang lelaki yang setia berkorban dalam melaksanakan tugas hakikinya sebagai tentera dan menceritakan segalanya menerusi surat kepada isteri dan keluarga tercinta. Dalam surat itu, turut dikongsikan bersama kisah-kisah tentera lain yang berani menjaga negara tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan adat masing-masing. Untuk menjejak kembali langkah dan setiap ujian yang perlu dilalui individu-individu berani ini, kami mengumpul sekumpulan artis muda negara termasuklah Red Hong Yi yang bersetuju untuk terlibat menjayakan tafsiran semula pengorbanan setiap tentera kita ini.


• We Are No Different oleh Chiu Keng Guan
ini merupakan dokumentari pertama yang mengangkat kisah ‘interracial adoption’ atau penerimaan di antara kaum di kalangan keluarga dalam negara ini yang kerap kali terlepas pandang oleh masyarakat, namun dianggap sebagai sesuatu yang normal. Kita akan berkenalan dengan Hero, Sarah, Lavinya dan Kamala yang mana mereka akan berkongsi kisah mengenai penerimaan ramai dan kekuatan cinta / sayang yang melebihi dari ikatan darah daging.


• Journey To Stardom
membawa kita semua menelusuri kisah barisan selebriti kesayangan ramai dalam merealisasikan impian masing-masing.

Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai sajian menarik melebihi 150 judul yang membariskan program-program tempatan dan filem-filem serantau, seleksi rancangan realiti dan hiburan kegemaran ramai, dan banyak lagi kejutan menanti anda. Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem-filem terhebat tanah air seperti ‘Ola Bola’, ‘The Journey’, ‘Paskal’, ‘Polis Evo’, dan ‘Hantu Kak Limah’, yang mana telah merekodkan kejayaan pecah panggung, melangkaui jangkaan dan impian ramai.

Ketua Pegawai Kreatif, Naga DDB Tribal, Alvin Teoh, berkata, “Kisah yang diangkat dalam dokumentari ini mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Saya diinspirasikan dari kisah bapa saya sendiri, yang merupakan seorang pegawai artileri, yang berkhidmat dan bertugas rapat dengan barisan tentera yang hadir dari pelbagai latar belakang dan bangsa ketika fasa Darurat dan Konfrantasi. Saya cukup terhutang budi dengan setiap mereka yang terlibat dalam membawakan kisah ini kepada umum, kisah sekumpulan lelaki dan wanita dari pelbagai etnik yang bersatu padu, hadir sebagai ‘kita’, demi memastikan erti kebebasan yang kita semua kecapi pada hari ini.”

Red Hong Yi berkata, “Tanah Tumpahnya Darah Kita begitu memberi makna yang besar buat saya, kerana sebelum ini, saya tidak begitu mengetahui mengenai pengorbanan yang dibuat barisan tentera kita. Menerusi pertemuan yang dibuat dengan bekas tentera kita ini, saya menyedari akan begitu banyak pengorbanan yang dibuat oleh ramai orang, tanpa mengira latar belakang masing-masing. Mereka lakukannya kerana mencintai negara ini. Besar harapan saya agar hasil seni yang saya zahirkan ini akan membuka mata kita semua akan pengorbanan barisan bekas tentera kita ini, dan mereka ini wajar diberikan penghormatan, menjadi kebanggaan dan setiap pengorbanan mereka kepada negara ini perlulah dihargai.”


Tayangan Perdana ‘On Your Mark’ Astro First

Filem sulung pengarah, Chiu Keng Guan di China, ‘On Your Mark’, akan mula menemui peminat di rumah masing-masing menerusi Astro First (Saluran 480) pada 26 Ogos 2021. ‘On Your Mark’ berkisahkan tentang seorang bapa yang membantu anak kurang upayanya terlibat dengan acara marathon. Filem ini berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM100 juta di China. Chiu berkata, “Saya cukup teruja dengan sambutan yang diberikan oleh ramai pihak ketika filem ini dilancarkan di China baru-baru ini. Saya berharap filem ini dapat menyentuh hati rakyat Malaysia, terutamanya kisah kasih sayang ayah-anak yang dipaparkan dalam naskhah ini. Harapan saya juga, filem ini akan memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda pembuat filem negara untuk mencapai impian mereka dan mengorak langkah lebih jauh lagi dalam bidang ini.”

Nantikan Lebih Banyak Lagi Dari Kami

Astro Radio akan membawakan sajian istimewa termasuklah 25 pilihan terhebat, 25 lagu-lagu tempatan popular dan banyak lagi menerusi aplikasi SYOK dan merentasi kesemua stesen radio naungannya. RAAGA juga akan membawakan konsert maya 90-minit di platform Facebook bersempena dengan Hari Kemerdekaan, pada 31 Ogos 2021, yang mana akan dihadiri oleh ramai selebriti tempatan.

Astro dengan rendah hati dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk berkhidmat selama 25 tahun kepada rakyat Malaysia. Kami akan terus komited untuk menghiburkan anda semua dengan membawakan informasi-informasi terkini merentasi TV, radio, digital dan platform e-dagang. 

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan ulangtahun ke-25 Astro dan sajian-sajian menarik menanti anda, serta informasi berkaitan dengan kempen #KitaTeguhBersama, sila layari www.astro.com.my/bettertogether


1 comment:

  1. wahhh dah 25 tahun ye astro.. masih hilang siaran time hujan lagi walau dah 25 tahun ekekekeke.

    ReplyDelete

Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!