Hi Korang,
Seriously tak sangka dah 20 tahun Astro ni ek, pejam celik pejam je ek...
Bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-20 Astro, pelanggan Astro mendapat akses percuma kepada saluran Astro Fiesta (CH 996/ HD CH 998) manakala pelanggan dengan kotak sambungan internet boleh menonton OD Fiesta secara percuma bermula hari ini sehingga hujung tahun. Semua rakyat Malaysia juga boleh menonton Astro Awani, Astro Arena, Go Shop 1, Go Shop 2 dan Saluran eGG selain beberapa kandungan On Demand terpilih secara percuma, pada bila-bila masa, di mana juga mereka berada hanya dengan memuat turun aplikasi Astro on the Go (AOTG).
Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata, “Tahun 2016 menandakan tahun ke-20 kita dalam perniagaan, di mana kita dengan sukacitanya bergelar pilihan utama rakyat Malaysia dalam hiburan, sukan, berita dan pendidikan di seluruh negara. Dengan melangkah ke dekad ketiga ini, kita akui bahawa daya saing untuk memenangi masa dan wang pengguna akan dilihat lebih sengit, terutamanya dengan kehadiran aspek digital dalam industri media yang serba berubah serta mempengaruhi corak tindakan pengguna, pilihan pengguna, model perniagaan tradisional dan landskap daya saing yang lebih tinggi. Walaupun berdepan pelbagai rintangan dan cabaran, kami akan terus utuh dalam menjanjikan peluang yang lebih besar.
Kunci kepada kejayaan ini adalah disebabkan keupayaan Astro mengenali pelanggannya dengan lebih baik, mengenal pasti kekuatan kami, peka dengan jurang dan menggunakan sumber yang kami ada untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang. Di Malaysia, kami kekal fokus untuk terus meluaskan capaian pelanggan kami dari segi isi rumah, individu, perniagaan atau pengiklanan. Menerusi pendekatan dua hala; model bayar dan perniagaan percuma kami, kami yakin Astro mampu mencapai 90% capaian pelanggan ataupun sekitar 7 juta isi rumah dalam tempoh 5 tahun.
Pelanggan akan terus menjadi keutamaan kami, dan mereka sentiasa dijadikan aspirasi untuk kami terus mencabar diri dalam memperkenalkan kandungan baharu, produk, perkhidmatan yang hebat seterusnya membenarkan mereka menikmati pengalaman yang begitu bernilai tinggi. Untuk menjadi peneraju pasaran yang hebat, kami perlu terus berevolusi dan berkembang sebagai satu organisasi. Dengan lanskap media dan pengguna yang kini dilihat berubah dengan pantas, kami perlu menggabungkan keupayaan kreatif kami dengan peredaran teknologi dan kebolehan kami untuk melaksanakannya dengan kebijaksanaan dan disuntik dengan semangat keusahawanan yang jitu. Kami berjanji untuk terus komited kepada setiap pelanggan dengan memperkukuhkan perkhidmatan yang ditawarkan agar Astro terus kekal menjadi pilihan jenama yang bernilai”.
Ulangtahun ke-20 Astro telah dihadiri pelakon tampan Korea; Kim Rae-Won, hos National Geographic; Harry Yuan, selebriti terkenal Malaysia; Zizan, Johan, Nabil, Datuk Aznil Nawawi, Harith Iskander, Aaron Aziz, Lisa Surihani, Hafiz, Adira, Nicole, Geraldine, Adam C, Adi, Radin, Jentzen Lim, Jay, Yaashini; watak kesayangan seperti Mickey Mouse, The Minions, Homer Simpson, Power Puff Girls, Spongebob Squarepants & Patrick Star, OO-Kun dan banyak lagi.
Astro Fiesta dan OD Fiesta Percuma
Semua pelanggan Astro boleh menikmati saluran Astro Fiesta (CH 996 / HD CH 998) secara percuma bermula 10 Oktober sehingga 31 Disember 2016. Astro Fiesta menampilkan konsert antarabangsa dan tempatan terulung seperti Katy Perry – The Prismatic World, Konsert Mega Gegar Vaganza, Mayday Nowhere Concert, International Superstar 2015, I AM – SMTOWN Live World Tour di Madison Square Garden; Queen – A Night at the Odeon; MTV World Stage dan banyak lagi.
Pelanggan dengan kotak sambungan talian boleh menikmati OD Fiesta, saluran khas yang menampilkan siri TV pilihan seluruh dunia e.g. The Walking Dead, Outcast; rancangan bersiri Korea, Love in the Moonlight, Doctors, Jealousy, Incarnate; siri TV Kantonis dan Hokkien, The Hiddens, Brother’s Keeper and My Sister; rancangan Tamil terbaik Seethaiyin Raman; rancangan kegemaran tempatan, Akademi Fantasia, Lara Oh Lara dan Superstar 2016 – segalanya on demand, secara percuma. Pelanggan hanya perlu sambungkan Personal Video Recorder (PVR) kepada sambungan Wi-Fi di rumah untuk mula menonton OD Fiesta.
20 Pengalaman Eksklusif ‘Sekali Seumur Hidup’
Semua pelanggan Astro boleh mengambil bahagian untuk memenangi salah satu daripada 20 pengalaman seumur hidup eksklusif seperti berikut: -
● Lawatan ke Ireland Utara untuk merasai pengalaman ‘Game of Thrones’, ataupun kelas membuat kek di Buddy Valastro Cooking School, New Jersey seperti ‘Cake Boss!’
● Lawatan ke acara sukan gemilang seperti perlawanan Barcelona vs Real Madrid di Sepanyol mahupun WWE Wrestlemania 33 di Florida ataupun perlawanan Liga Perdana Inggeris di England.
● Lawatan ke Korea Selatan untuk menghadiri ‘2016 MBC Entertainment and Drama Awards’, ‘2016 KBS Awards’ atau ‘2016 SBS Awards’.
● Lawatan ke Hong Kong untuk menghadiri ‘TVB Gala 2016 Show’ atau ‘Movie Studio Gala Dinner Celestial’.
● Lawatan ke Chennai, syurga kepada hiburan berbahasa Tamil untuk melawat studio AVM yang popular dan juga menjadi sebahagian daripada penonton rancangan terbaik seperti Sun TV dan Vijay TV.
● Sehari bersama selebriti terkenal, Zizan atau Johan serta berpeluang membuat penampilan istimewa dalam rancangan mereka..
Sila rujuk lampiran atau www.astro.com.my/celebrating-you untuk senarai penuh hadiah-hadiah eksklusif.
Akses percuma untuk sekeluarga (4 orang) ke ‘Karnival Astro Fest’
Pelanggan Astro boleh bersuka ria di ‘Karnival Astro Fest’ yang bakal diadakan di Taman Tema Sunway Lagoon pada hari Ahad, 20 November 2016. Astro Fest menawarkan hari gembira penuh aktiviti menarik daripada Fox, Discovery, Food Network, Disney dan Astro Ceria, konsert LIVE, kehadiran selebriti terkenal serta peluang untuk menangi pelbagai hadiah menarik.
Sila layari www.astro.com.my/celebrating-you untuk maklumat lanjut dan cara untuk mendapatkan empat tiket untuk satu akaun Astro bagi menghadiri karnival Astro Fest ini.
No comments:
Post a Comment
Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!