Hi Semua,
Astro Shaw, dengan kerjasama Etika Sdn Bhd (menerusi jenama 7UP dan Mirinda), Enotech Pictures dan Icon Pictures, terus memperkukuhkan industri perfileman tempatan menerusi filem terbaharu mereka, HAK: Tuntut Atau Tunduk.
Berlatarbelakangkan komuniti yang semakin berkembang dan realiti tempat kerja yang kian berubah, HAK: Tuntut Atau Tunduk mengetengahkan sebuah filem reflektif dan konstruktif mengenai perubahan sosial yang membentuk kehidupan harian rakyat Malaysia masa kini. Filem ini menyentuh tema maruah, tanggungjawab, integriti dan hubungan sesama manusia, sambil mengajak penonton untuk merenung nilai-nilai yang membentuk cara masyarakat hidup, bekerja dan berinteraksi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia.
Diarahkan oleh pengarah terkenal Ezrie Gazali yang dikenali menerusi Abah Saya Uncle Mike, dengan skrip hasil tulisan penulis tersohor Alfie Palermo yang sebelum ini menghasilkan siri premium One Cent Thief, HAK: Tuntut Atau Tunduk dibangunkan daripada konsep cerita asal yang dicetuskan oleh Santharuban Thurai Sundaram.
Sebagai rakan strategik filem ini, Etika menyertai projek ini selepas memulakan perbincangan bersama Astro Shaw untuk meneroka kolaborasi berasaskan penceritaan yang mampu mengetengahkan perbualan sosial yang bermakna menerusi medium filem. Melalui jenama 7UP dan Mirinda, Etika ingin menyokong karya yang mampu mendekati rakyat Malaysia melangkaui hiburan semata-mata, sambil menggalakkan refleksi secara konstruktif dan mudah didekati.
Setiap babak dihidupkan oleh barisan pelakon berbakat seperti Syafiq Kyle, Beto Kusyairy, Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M. Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Fizz Fairuz. Menariknya, filem ini turut menandakan kolaborasi pertama di layar antara Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy.
Kini dalam fasa produksi aktif di sekitar Lembah Klang, HAK: Tuntut Atau Tunduk menjalani penggambaran di lokasi-lokasi autentik termasuk pasar awam dan kawasan pangsapuri kediaman bagi menampilkan visual realistik yang memperkayakan penceritaan emosional dan dekat dengan kehidupan seharian Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada penghujung tahun ini.
Menurut Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Astro Shaw sentiasa komited untuk membawa kepelbagaian genre serta cerita yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia. HAK: Tuntut Atau Tunduk adalah karya yang kami bangunkan bersama rakan penerbit dengan pendekatan lebih berani dengan naratif berlatarkan realiti ekonomi yang mencabar dan melibatkan hak-hak tertentu masyarakat yang semakin terjejas akibat sistem serta dominasi warga asing. Kami percaya cerita sebegini wajar dikupas dengan lebih mendalam dan berlapis, agar realiti ini dapat disampaikan dengan jujur melalui medium penceritaan, sekali gus mencabar perspektif penonton untuk melihat sesuatu isu dari sudut pandang berbeza.
Kami rasa berbesar hati dapat meneruskan kerjasama bersama rakan strategik 7UP dan Mirinda selepas penghasilan filem ‘Abah Saya, Uncle Mike’ tahun lalu. Kolaborasi ini membuka ruang kepada pendekatan kempen pemasaran pemasaran yang lebih dinamik dan kreatif, sekali gus membantu kami memperluaskan capaian serta mendekatkan filem ini kepada penonton dengan cara yang lebih segar dan berimpak.”
Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran, Etika Sdn Bhd yang turut bertindak sebagai Penerbit Eksekutif filem ini berkata, “Di Etika, kami sentiasa percaya kepada pendekatan yang lebih berani di mana jenama dan penceritaan dapat dikaitkan secara bermakna. Kami teruja untuk terus mengukuhkan kerjasama berasaskan naratif bersama Astro Shaw dengan menyokong karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut mencerminkan realiti dan perbualan yang sedang membentuk masyarakat hari ini. 7UP dan Mirinda telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia — hadir di ruang tempat masyarakat berkumpul, bekerja, makan dan berhubung. Melalui HAK: Tuntut Atau Tunduk, kami melihat peluang untuk menyokong sebuah cerita yang membawa perhatian kepada perbualan sosial yang sudah pun berlaku di sekeliling kita; menyentuh soal pekerjaan, maruah, pemilikan dan rasa kebersamaan, sambil menggalakkan refleksi serta perbualan yang bermakna.”
Amy menambah, “Bagi kami, perbualan mengenai HAK bukan sekadar tentang hak semata-mata. Ia juga berkait rapat dengan tanggungjawab — mengajak rakyat, majikan, pekerja, pihak berkuasa dan masyarakat secara keseluruhan untuk mengiktiraf maruah kerja yang jujur dalam apa jua bentuk, serta merenung bukan sahaja siapa yang mengisi ruang tertentu, tetapi juga apa yang mungkin telah kita sebagai masyarakat berhenti hargai, pupuk atau wariskan. Sebelum kita mempersoalkan mengapa sesetengah ruang bertukar tangan, mungkin kita perlu terlebih dahulu bertanya mengapa ruang itu dibiarkan kosong. Sebagai jenama yang sebati dengan budaya Malaysia, 7UP dan Mirinda berharap dapat menyegarkan semula perbualan ini dengan membawa masyarakat ke meja perbincangan dan menggalakkan rakyat Malaysia melihat isu ini dengan lebih jujur, empati dan kefahaman.”
HAK: Tuntut Atau Tunduk mengisahkan Hakim (Syafiq Kyle), seorang pegawai operasi di sebuah pasar awam yang semakin terdesak untuk mendapatkan wang menjelang kelahiran anak pertamanya. Desakan tersebut membawanya ke jalan eksploitasi yang akhirnya memberi kesan kepada pekerja asing di sekelilingnya. Namun, kehidupannya berubah menjadi semakin berbahaya apabila dia menemui sebuah beg berisi wang tunai, sekali gus meletakkan dirinya dan keluarganya dalam buruan individu-individu kejam yang mahu merampas kembali wang tersebut. Mampukah Hakim melindungi insan tersayang sebelum semuanya terlambat?
Nantikan HAK: Tuntut Atau Tunduk di pawagam seluruh negara pada penghujung tahun ini. Ikuti platform media sosial rasmi Astro Shaw untuk klip eksklusif dan perkembangan terkini.
No comments:
Post a Comment
Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!